Ketawa Tingkatkan Nafsu Makan

Patutlah kalau aku makan sambil tengok sitkom komedi kat tv, makanan jadi bertambah sedap.





Mungkin ini adalah jawapan kenapa orang gemuk biasanya fun dan kelakar, atau disebabkan kau selalu fun dan bergelak ketawa lalu nafsu makan bertambah dan tubuh menjadi gebu gebas.

Fun, sehinggalah tercetusnya gejala-gejala rendah self-esteem, body dysmorphic disorder dan makan pun boleh menyebabkan trauma.

Yang Fun dan kaya selepas itu adalah pengeluar / penjual makanan atau ubat kurus. Punyalah fun dan kelakar sampai boleh jadi pelawak dalam televisyen. 


Iklan Raya


Musim raya ni banyak betul iklan masuk televisyen, facebook, instagram, blog dan sebagainya. Betul-betul promosi raya ni.

Kalau iklan barangan tu dah memang biasa, tapi ramai jugek orang yang iklankan diri. Single la..jodoh la..dan lain-lain ayat penarik. Okeylah jugak, sekurang-kurangnya informasi tu berguna bagi yang nak mencuba.

Tapi seeloknya jangan iklankan rumah anda, contoh "Akan beraya lagi di kampung selama 5 hari, rumah saya kosong"






Perlumbaan Kehidupan



Traffic light merah. Di sebelah aku ada sebuah kereta Peugeot berwarna biru. Timbul satu perasaan liberal nak berlumba pulak secara spontan. Jangan dibilang kereta keluaran tanah air tak gagah, rebel hati aku. Lampu isyarat bertukar Hulk, terus aku berlumba dengan Peugeot biru tersebut. Zassss...

Aku bagi dia peluang untuk mara, tapi melepasi je dari selekoh terus aku potong  dan mula mendahului perlumbaan. Peugeot biru menambahkan kelajuan namun aku masih steady di hadapannya. Sehinggalah menghampiri area rumah aku, aku sahkan aku lah pemenangnya.

Cuma, cuma.. aku sorang je la yang tahu bahawasanya kami sedang berlumba, si Peugeot Biru aku belum sempat nak bagitahu berkenaan dengan perlumbaan yang berlangsung tadi. Dalam kereta tu entah-entah dia sedap melayani lagu nasyid sambil mengelamun tentang keenakkan kurma Yusof Taiyoob. Tak peduli pun kat aku.

Moral of the racing, choose our battle, tak semua hal kita nak battle. Ada benda boleh settle kita settle. Persaingan yang sia-sia akan membawa kepada kemenangan yang tiada nilai. Seperti ular membelit kapak, kapak tetap kapak, ular mati angkara sendiri.

Menurut Zen Shin : A flower does not think of competing with the flower next to it. It just blooms.



"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya”. Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami ta’at. (Kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdo’a dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan ma’afkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.



Buat apa pun, asalkan ada duit, orang kebanyakkan akan reserve some soft spot / sudut empuk.

"Takpelah, dia ada duit banyak, kau ada apa"
"Biar lah, sibuk-sibuk buat apa, dia duit banyak"
"Dia nak jahat ke, nak berlagak ke, asalkan duit dia banyak, ada dia kisah"

Cuba kalau orang tu tak berkuasakan-duit, semuanya nampak salah serba tak kena.

Moral kompas pun boleh keliru mana utara-selatan dengan adanya magnet duit.

Manakan tidak, kita sendiri meletakkan harta sebagai tanda aras kejayaan dan kebahagiaan. Menjadi-jadi mengidolakan jutawan.

"Dia berjaya dah..ada kereta 5 biji, rumah besar"

Apa kurang berjaya ke seorang jururawat yang hanya punyai sebuah kereta dan 20 tahun perkhidmatan? Atau seorang cikgu? Atau pembikin filem (walaupun filem tak laku sangat). Mereka juga VVIP.

Realitinya yang kita raikan ilmu tertimggi di dunia adalah ilmu menjana duit.


Cara Membunuh Lipas


Fndy and the Cockroaches


Bunuh lipas ni secara teknikalnya sangatlah mudah ya amat, senjata paling penting adalah ketenangan, kemudian amik spray dan hala kan pada beliau, kemudian kau tekanlah picu spray, selesai. Cara ni dijamin berkesan. Testimonialnya boleh tengok aku la, aku boleh bunuh lipas tanpa perlu beralih punggung pun (duduk setempat. Datang 2-3 ekor lipas sekalipun, aku bunuh dengan cermat dan professional, dengan izinNya.

Tapi yang buat susah bila ketenangan aku tu dicabar, bukan dicabar oleh si lipas, tapi oleh insan yang takutkan lipas. Aku elok je nak acukan spray kat lipas tapi insan-insan istimewa ini terlolong-lolong mengalahkan aku nak berlawan dengan setan / valak. Apa beza jeritan wanita yang kena ragut, dengan, wanita yang nampak lipas? Tak ada bezanya. Dua-dua bergegar tahi telinga. Lari terus fokus dan keimanan aku. 

Bukan saja ketenangan aku saja yang dicabar, method dan kaedah aku juga dipertikai. Aku elok je membunuh tanpa setitik peluh pun tumpah, tapi haters lipas ni kadang panik bukan main sampai suruh aku hempap dengan kerusi la, pukul dengan kayu la, lenyek dengan barang la, nasib baik lah tak suruh tembak dengan pistol je. Lipas je kut, bukan buaya.

Kalau mood aku okey, aku layan la. Bila datang malas aku, aku biarkan je lipas tu bermaharajalela sambil penakut lipas lari macam lipas kudung. Wife aku misalnya, kalau aku dah malas nak bunuh lipas, sengaja aku biar sebab nak bagi dia peluang bertarung dengan ketakutan. Cara dia bunuh lipas agak radikal, boleh kemurungan aku dibuatnya. 

Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:

1. Menjerit awwwoo awww lipasss arrrggh lipas. Takutnye.
2. Berdiri atas kerusi, atau menyorok di mana-mana penjuru / bucu.
3. Merenung ke arah lipas dengan renungan kebencian bercampur kegerunan.
4. Tercegat , brain freeze.
5. Tunggu arahan aku
6. Follow arahan aku, arahan aku sangat simple iaitu pergi amik spray.
7. Berlari amik spray (walaupun si lipas tak ingin pun nak kejar)
8. Lepas dah amik spray, menyorok di penjuru sambil bertanya "Mana lipas tadi?! Mana dia?!
9. Melangkah slow-motion ke arah lipas.
10. Berpatah balik sebab lipas bergerak
11. Ulang langkah nombor 2.
12. Ulang langkah nombor 3 dan 4 dan 9.
13. Tekan picu spray...pastu awwwuuu awwwuuu eiiiiiwuuu. Bingit telinga aku.
14. Lari.
15. Spray lagi. Sebab ketenangan takde,spray pun merata-rata.
16.Spray.
17. Awww..awaaaaooo..awww.
18. "Mana lipas? mana lipas?"
19. " Carikan lipas tadi...carikan..."
20. Lipas berpusing-pusing sebelum menemui ajal.
21. Muka kepuasan.
21. Tiba-tiba muncul lagi sekor.
22. Awwuuu...arghhh...
23. Rupa-rupanya yang lagi sekor tu boleh terbang pulak.
24. Telefon bomba

Tamat.




Hospital dah macam rumah kedua mak aku. 

Berkisar tentang kemungkinan beraidilfitri di hospital. Mak aku cakap pesakit kenalah datang ke hospital barulah doktor ada gaji, gaji doktor tu pun untuk bayar kos pengajian dorang yang kemain tinggi, sakit jugak nak melangsaikannya. Apa yang mak aku cuba sampaikan selepas itu rasanya life is fair in whatever condition , at least to God's plan. Takdir katanya.

Pain is real, but maybe we can avoid suffering, because sometimes suffering is imaginary. Or maybe our understanding /idea of it already broken.

Setakat berat naik 3-4 kilo, baju raya tak sedondon, suffering mende apa la, takyahlah


Pergi ATM nak keluarkan duit (takkan nak keluarkan kuih-muih pulak kan). 

Aku tak ingat duit tinggal berapa tapi aku cuba bersangka baik, terus tekan jumlah duit yang nak dikeluarkan.

Gagal. Kat skrin tulis baki tidak mencukupi. Menyesal pulak perasan kaya.











Bazaar Ramadhan 2017


Tahun ni dah 2 kali cubaan aku ke Bazaar Ramadhan berdekatan rumah.

Pertama kali pergi lebih kurang pukul 4:30 tapi dah menyemut orang berpusuan, nak park kereta pun tak ber-ruang, terus aku buat u-turn dan pulang menunda hasrat di hati. Aku memang alerjik nak menyemak-nyemak dalam keramaian.

Kali kedua pun cerita yang sama, kali ni aku u-turn dan pergi Tesco beli air mangga dalam kotak, itupun sebab mak aku ada whatsapp kirim beli air sedap kat bazaar. Memandangkan aku tak jadi pergi bazaar, at least aku tak pulang bawa muka seposen sahaja.

Kali ketiga, pukul 3 suku lagi aku dah sampai bazaar, matahari pun terik lagi, siap-siap parking kereta port baik lepak jap tunggu bazaarian bukak payung sambil baca suratkhabar. 

Mengagau jugak pusing cari makanan, dahlah takde direktori. Sambil tu terfikir sejenak kan bagus kalau ada orang atau aplikasi yang amik upah jadi ejen mengharungi bazaar, membeli dan menghantar terus ke rumah, bagilah nama Grabfood.

#Donebazaar

Instinct aku yang merasakan Murakami nak keluar buku baru memang tepat (judul seperti tajuk entri).

Bila aku tengok harganya 100++ , menyelinap satu sentuhan perasaan yang biasa dimainkan dalam lagu-lagu melayu lama : $yahdu.

ATV di Kemensah


Dah lama aku nak notakan di sini tentang aktiviti aku menonggeng sejenis kenderaan yang disebut sebagai ATV. Pengalaman pertama aku di Kemensah, lokasinya betul-betul di belakang zoo negara. Bila nampak je Mercu Zoo Negara, terus je menelusur ke laluan kecil di sebelahnya. Perjalanannya agak panjang jugak, tapi kau rileks je usah gelojoh biawak, disepanjangnya boleh nampak sungai mengalir tenang, deruan air bisa mengembalikan kerohanian yang kucar-kacir.

Ada beberapa tempat yang anda boleh sewa ATV di Kemensah, namun satu-satunya tempat yang aku tuju adalah Kem Isi Rimba. Kat situ ATV dikendalikan oleh team yang menggelarkan diri mereka sebagai ATV dot COM, boleh cari di instagram atau facebook. ATV atau orang Changlun panggil All-terrain vehicle ni sesuai untuk semua golongan termasuklah hipster, raver, umno, Pan, PAS, warga emas, OKU, peminat Aiman Tino mahupun keyboard warrior.

Terlebih dahulu, kami diberi taklimat ringkas mengenai ATV. Cara nak hidupkan ATV dan asas mengendalikannya. Tak lupa juga perkara paling diutamakan : KESELAMATAN. Meskipun bukan dalam bidang kuasa abang JPJ nak buat roadblock kat dalam hutan, namun wajib juga pakai topi keledar demi menjaga otak anda.

Lepas sesi taklimat, kami pun dibenarkan untuk test power (suai-kenal) ATV di kawasan lapang. Inilah masanya untuk cuba-cuba tekan brek, tekan minyak, drift serta berswafoto. Bila keyakinan tu dah meresap, kami pun memulakan pengembaraan ATV.



Kat sini ada beberapa track yang disediakan oleh Kem Isi Rimba. Pertama kali kami datang sini, tentunya kami memilih track yang paling merendah diri - Trek Ulu Bauh, trek yang merentasi alam kebun dan sedikit bukit. Kembara ini melalui kebun-kebun buah ke sayur aku tak pasti, sambil tu boleh berehat melihat pemandangan dari atas bukit. Elok kalau nak bawa roti atau makanan yang mudah dibawa dalam beg sebab kat atas ni mesti terasa lapar punya, dalam hutan bukan ada 7E.



Sebagai pengalaman pertama kami, agak berpuashati juga lah dapat mengendalikan ATV tanpa banyak hal. Setakat sangkut-sangkut sikit tu biasalah asam garam kehidupan. Sejam lebih perjalanan pergi dan balik kami. Sekembalinya ke port kem isi rimba, rupa-rupanya makanan turut disediakan di ruang bersantap, rasa tak percaya pulak sekali dengan pakej. Perut pada masa tu memang dah berbunyi siren, pekena lak lauk-pauk masakan melayu memang alhamdulilah syukur nikmat negara selamat.

*aku terlupa, sebenarnya sebelum makan tu kami sempat terjun sungai mandi dengan anak ikan (bukan anak ikan yang gitu-gitu)



Pulang dari trip lite and easy yang pertama tu, kami semua sepakat yang ini sebenarnya hanya permulaan, kami nak sesuatu yang lebih thrill la. Entah berapa lama selepas itu, kami kembali lagi ke Kem Isi Rimba. Kali ni kami memilih track yang lebih mengundang iaitu ke air terjun BATU ASAH.


Air Terjun BATU ASAH


Perjalanan kali ni kami rasa lebih berkeyakinan sebab dah ada pengalaman sebelum ini. Cuma kami diingatkan bahawa trek kali ini lebih mencabar dan perlukan lebih fokus. Aku sebenarnya antara yakin dengan tidak je, tapi kalau pihak isi Rimba yang diketuai oleh Syazwan kata okay, aku okay je. Ternyata, perjalanan ke air terjun lebih menarik, awal-awal kembara tu kena merentasi anak sungai. Mula-mula aku pun tak yakin ni boleh ke ATV keluar-masuk sungai, tapi tengok dorang tunjukkan tekniknya memang boleh dan takdelah impossible kalau betul gerakkerjanya. Masa lalu kat sungai tu memang terasalah kesejukkannya.



Perjalanan ke air terjun BATU ASAH aku anggarkan lebih kurang sejam++, bergantung juga lah berapa orang dalam satu kumpulan tu, kalau pergi solo atau berdua memang lebih cepat. Kalau berkumpulan 5 dan ke atas, dinasihatkan untuk saling berkomunikasi sesama sendiri supaya takde yang tertinggal atau tersesat, kalau berlaku sebarang kecemasan pun kita boleh tolong-menolong amalan mulia. 

Sepanjang perjalanan kami amat berterima kasih dengan wakil Kem Isi Rimba / ATV dot Com atas tunjuk ajar dan panduan-panduan yang diberikan, memudahkan untuk kami enjoy sepanjang perjalanan. Apa yang aku boleh komen tentang perkhidmatan mereka : above expectation.

Setibanya di Air Terjun, kami pun memeriksa kawasan sekeliling dahulu sebelum bersiram. Nasib baik tak ada anak dara yang sedang mandi/berbikini atau gajah zirafah berkelana, memang kena tepatlah time kami datang ni. Air terjun tu memang nampak segar dan dilindung, mungkin sebab susah nak masuk sampai ke sini jadi tak ramai yang rajin nak ke sana walaupun ada jalan pintas.

Selesai sudah bergomol dengan alam, perjalanan pulang biasanya lebih mudah kerana masa pergi tadi dah nampak dan belajar mengatasi rintangan dan onak, jadi masa balik ni kebanyakkannya bukan main laju lagi tekan ATV. Macam biasa, bila sampai aku pun basuh-basuh apa yang patut, kemudian tibalah masa untuk memberi ganjaran kepada perut dengan makanan yang disediakan.

Selain ATV, Kem Isi Rimba ni sebenarnya tempat kau chill dekat chalet sambil berbeku, pastu terjun sungai. Kalau nak ekstrim tu yang ada aktiviti ATV, PAINTBALL, memanah dan sebagainya. Di kawasan sekitar tu pun memang banyak chalet dan aktiviti rimba yang dijalankan, korang boleh cari dan teroka sendiri. Kalau sukakan binatang, boleh singgah di Zoo Negara, kirim salam cium tangan kat Panda k.



For enquiries, contact:
Ameer: +60 17 378 8457
Shazwan: +60 16 248 9777
Afiq: +60 17 285 8536
Call/Whatsapp/SMS
#ATV #AllTerrainVehicle #ATVdotCOM #ATVMalaysia #ATVKualaLumpur #ATVKemensah  #ATVUluKelang #ATVInstagram #ATVIG #ATVRide #ATVRider #ATVOperator #Kemensah #UluKelang #Ampang #WangsaMaju #Outdoor #ExtremeSport #AbangAdaATVTau #KauTakdeATVMehDatangIsiRimba #NakNaikATVBolehDMAbang #ATVAbangSeronok #JanganMaluJanganSeganMehNaikATVAbang #LepasNaikATVBolehMandiSungai #SiniMacamMacamAdaSilaDMUntukMaklumat #AbangAdaATVPakweAwakAdaApa

Untuk aktiviti seterusnya aku rancang nak trek ke Sofea Jane pulak. Sapa ada berani?




Penemuan phenomel semasa menyelak lembaran majalah-majalah lama.


Kebetulan pula, algoritma saraf aku memang ada lari sikit dia punya pitching, kena kejar ni.

Ironi Seorang Lelaki Kurang Bicara 2


Rentetan dari nota sebelum ini.

Ada satu lagi hal signifikan yang memerlukan aku untuk belajar bercakap atau memaksa diri untuk bercakap, iaitu mengayat makwe. Terus terang cakap dari lubuk hati yang terdalam, aku tak fasih mengayat makwe, sekurang-kurangnya itulah yang aku percaya pada masa itu. Kalau ada pun, mungkin aku berada dalam keadaan luar sedar, itu bukan aku yang setulusnya (selamatkan diri).

Mengayat Makwe

Walaubagaimanapun, mengayat ni boleh dididik kan kan. Aku observe dari seorang sahabat rapat aku sendiri, dia ni pergi kedai KFC mengorat, pergi kedai spek mata mengorat, pergi beli tiket bas pun mengorat, beli topup pun sempat mengorat kalau dia nak. Mula-mula aku panas hati jugak sebab kerja jadi lambat tapi lama kelamaan aku dapati mengayat ni tak menghancurkan negara pun, mengayat ni dalam perspektif yang lebih susila kita panggil 'mengambil hati' atau lebih politikal 'sesi beramah-mesra'. 

Dan aku takde benda-benda ni semua. Pernah masa admire kat sorang makwe ni, aku bagi kertas kat makwe tu suruh tulis nombor telefon.Bukan main tegas kaedah aku nak berkenalan, nasib baiklah dia bagi nombor telefon yang betul, kalau dia bagi nombor telefon boifren dia lebam pulak bijik mata aku.

Dalam masa yang sama, aku bersahabat jugak dengan seorang perempuan lawa dan diminati ramai. Memandangkan dia sahabat rapat aku, selalu aku lupa yang dia ni lawa. Sebab bila dah bersahabat ni kita dah tak kenal rupa dan cakap pun lebih kurang je. Punyalah akrab sampai bila ada orang nak tackle dia pun minta approval dan penjelasan dari aku, nak menangis aku gelak. Lepas bertahun bersahabat, bila aku bercakap dengan perempuan pun dah tak kaku sebab dah tiap hari aku cakap dengan sahabat baik aku yang lawa apahal aku nak kaget lagi. Dia pun aku rasa dah tak kekok bila berjumpa lelaki-lelaki kacak sebab setiap hari jumpa aku. Begitulah kisahnya.


Juruacara Majlis

 *Klimaks kepada perjalanan kisah seorang lelaki yang tidak petah berkata-kata, ironi yang paling win adalah apabila sejarah menyaksikan aku menjadi seorang MC / Juruacara majlis. Bila dibagi mikrofon, pandai pula aku cakap elok-elok. Pengalaman pertama menjadi MC tidak seperti yang aku bayangkan, aku bukan saja survive dengan kepuasan malah diberikan pula tanggungjawab untuk menjadi MC di majlis lain. Wadehel. Meski diakui berlaku sedikit anjakan minda setelah mengharungi liku-liku kehidupan /pembelajaran, namun tak pernah pula aku membayangkan diri ini sebagai seorang MC, waima MC picisan sekalipun. Hal ini bertitik-tolak apabila orang meletak percaya kat aku dan aku mula menjadi adventurous dengan melakukan perkara-perkara yang bukan forte aku. Falsafah 'dont give a fuck' mula meracun barangkali. 



-

By default, aku adalah seorang yang tidak kerap bercakap. Kalau ada alat atau teknologi yang kerjanya mengira jumlah patah perkataan yang aku cakap pada satu hari, nescaya alat itu akan hilang motivasi untuk hidup. 

Ironinya, sebagai seorang lelaki yang tidak menjadikan bercakap sebagai modal untuk menonjolkan diri, aku seringkali menjadi yang terpilih (mangsa) untuk berbuat demikian.

Bermula di awal persekolahan sekolah menengah, cikgu meletakkan nama aku sebagai peserta perbahasan. Padahal, punya ramai budak lain yang cakap asik nak menang, bila berhujah kereta pun boleh terbang, taknak pulak cikgu pilih. Aku yang tanya sepatah jawab sepatah ni yang dipilihnya. Aku memang tak setuju, aku nak bercakap dengan cikgu pun tersipu-sipu, lagi nak mintak aku berbahas. 

Cikgu paksa juga bubuh nama aku, tapi aku buat tak tahulah. Sampai hari pertandingan yang diadakan semasa perhimpunan. Sorang demi sorang nama peserta dipanggil untuk mara ke pentas. Sampailah nama aku disebut...

"Dijemput peserta terakhir saudara (nama aku) untuk menyampaikan perbahasan dengan tajuk (tak ingat tajuk apa)"

Aku tak keluar sambil cuba kelihatan setenang yang mungkin. Muka aku memang seposen la. Aku pandang kiri kanan, gaya macam menunggu mana budak nama Fendi yang nak berbahas ni tak keluar-keluar. Dah panggil berkali-kali pun tak keluar lagi, muka aku kekal tenang. Sampai ke hari ni lah misteri tersebut masih belum terungkai.

Pernah juga cikgu English jumpa aku secara personal membawa hajat besar. Nervous jugak aku dibuatnya. Rupa-rupanya dia nak aku masuk deklamasi sajak bahasa english. Berderau darah aku mendengar idea cikgu tu. Kalau Shakespeare dapat tahu hal ni pun mesti dia akan insomnia 7 keturunan.

Bila melanjutkan pelajaran, aku berjumpa pula dengan seorang pensyarah yang mempunyai satu hobi yang pelik, iaitu mengaju soalan kepada aku setiap kali kelas beliau, setiap kali. Aku tak faham, kenapa dia insist nak dengar jawapan aku padahal aku hanyalah seorang lelaki jujur yang masih mencari identiti diri berbekalkan wajah yang kacak.

Segala teknik mengeraskan badan, pandang lantai, taktik sakit kerongkong, sembunyi di sebalik badan rakan yang gempal tidak pernah menjadi. Pernah sekali aku cuba juga masuk kelas nak menyamar jadi Aaron Kwok, tapi sayangnya muka tak chinese-look. Tetap juga diberi soalan untuk aku bersuara.

Sehinggalah aku mula redha dengan takdir yang dijatuhkan kepada aku. Aku terima sahaja apa sahaja soalan yang diaju. Sejak dari situ, aku rasa pelik kerana selalunya aku tahu jawapannya, atau sekurang-kurangnya pernah terlintas dalam kotak fikiran. Aku mula sedar yang aku fikirkan dalam kepala ini patut dicambah diluar, bukan dibiar menjadi tahi di dalam. Ini secara kebetulan juga menampakkan aku seperti pelajar bijak-bijak, sedangkan aku jawab ikut suka je mana yang melintas. Kalau kucing yang melintas aku jawablah kucing, kalau anjing aku jawablah anjing. Kalau awek yang melintas, kita diam-diam.

Pensyarah ni aku rasa ada kebolehan atau pengalaman untuk mengesan sesuatu dalam fikiran orang. Dia bukan saja menjentik naluri berfikir dan bercakap aku, malah aku percaya student yang lain pun sama. Kalau aku macam malas nak jawab betul-betul dia provoke sampai urat otak aku berdenyut.Fikiran aku macam biasalah, macam ikan lemas dalam lautan, terumbang-ambing, padahal ikan sepatutnya boleh berenang bebas membelah lautan. 

Jadi bila aku mula menyedari yang aku adalah ikan, aku mula selesa untuk berenang tanpa rasa takut untuk lemas. Tapi ikan kecik-kecik je la kan..

-



Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home