Memori telefon bimbit aku tak berapa nak larat untuk menampung beratnya input-input yang masuk. Kebanyakkannya adalah foto. Ada foto yang aku terpaksa padam, contohnya benda-benda rawak yang aku snap untuk tujuan yang kurang jelas. Aku memilih-milih jugak mana yang aku rasa perlu simpan lebih lanjut dan mana yang terpaksa dilepaskan segera. Jika timbul keraguaan, aku akan post je kat sini sebelum dilepaskan, tanpa mengambil kira sama ada foto tersebut  bertepatan dengan entri ataupun tidak, sebagai sisipan peribadi untuk masa depan. 


I believe people are definitely more easily offended today than in the past. 


Manusia semakin fragile, kalau orang lain post gambar makanan pun boleh sentap, belum lagi post gambar bercuti luar negara. Bila nak bercakap atau menulis post pun kena politically correct dan mengguna konotasi yang tidak menyinggung, kalau tersalah cakap sikit tercuit sikit boleh dituduh diskriminasi, sexisme, rasisme, kronisme, man utd dan kencing tikus. Penat jugak nak jaga hati, dah macam planet-planet semua berputar mengelilingi dia pulak.


Sebab tu kalau boleh taknak post gambar aku yang kacak, takut orang tak kacak merasa tertekan, kan? Ke macam mana? Kadang aku tengok gambar sendiri pun tak berani, takut tertekan. Nampak tak kezuhudan tu.



 

Menjelang Senja Sungai Endau


Pernah tak ketika kita khusyuk memandu, tiba-tiba kita mengelak lubang di jalan, orang sebelah yang tak nampak apa-apa akan menegur pemanduan kita yang dikatakan tak semengah “ drive tu elok-elok”.


Ketika kita hampir-hampir terlanggar kereta depan yang berhenti mengejut, orang belakang yang sibuk menonton telefon akan jadi tak puas hati dan menegur kelalaian kita “fokuslah sikit..nasib baik tak terlanggar”.


Ketika kita memandu ke destinasi yang tidak begitu familiar, lalu tak semena-mena kita tersalah jalan dan tersesat. Ada yang naik marah, ada jugak ketawakan kebodohan kita. “Apebenda itu pun tak tahu”.


Sesiapa sahaja boleh menegur, kecam, ketawa malah merasa lebih bagus, selagi mereka tidak berada di kerusi pemandu dan memegang stereng. Kerana ketika mereka mula berada di tempat kita, mereka akan lebih senyap mengerti atau mungkin bising menghadapi pergolakan sendiri. Macam dalam filem P.Ramlee, ketawakan jin pakai toncit, akhirnya “Ooo..ini saya kenal dan tahu ni..huruf ini..ni kan huruf M..!”


Bagi yang telah mencuba dan terus mencuba sebaiknya, tepuklah bahu anda tanda menghargai usaha dan kerja keras sendiri, terus maju ke depan..bila perlu pandang lah cermin sisi / cermin belakang untuk melihat  apa yang berlaku di sekeliling. Jalan menuju destinasi tak semestinya ke depan, perlu jugak ke kanan kiri, anda perlu U-turn, masuk tol, kalau mengantuk sila berhenti rehat dan rawat sebelum meneruskan perjalanan. 


Hidup perlu seimbang, anda perlu tahu bila masa perlu tekan minyak dan bila masa perlu tekan brek.



Ada satu soalan diacu kat aku, selepas paraphrasing soalannya lebih kurang “apa pandangan kau pada perempuan yang makan/ baca buku kat kafe sorang-sorang? Adakah kelihatan seperti loser?”


Jawapan aku tu biar aku jadikan entri lah agar dapat membuang masa anda semua. 


Soalan tu sebenarnya memang diciptakan untuk aku, atau nak lebih exaggerating lagi, aku dilahirkan di dunia ini salah satu sebabnya adalah untuk menjawab soalan itu.


Aku memang dari dulu lagi impress dan admire kat perempuan yang boleh pergi tengok wayang sorang-sorang, makan sorang atau kalau time belajar dulu perempuan yang rileks pergi kelas sorang-sorang. Dengan itu, secara automatisnya aku geleng kepala, bila perempuan nak gi kencing pun nak berteman , nak beli nasi nak berteman, nak beli tiket bas nak berteman, kalau tak berteman dia rasa macam planet bumi akan terkeluar dari paksinya, siang tak bertukar malam. Kalau isu keselamatan tu aku faham, tapi kalau yang saja-saja ni hmmm


Jadi kalau yang boleh rileks baca buku kat kafe sorang-sorang lagilah aku impress. Dia macam ada attitude ah sukahati aku la nak baca buku, attitude aku ok lepak sorang apahal tak boleh makan sorang, pada aku yang jenis gini dia boleh kawal spektrum fikiran-fikiran yang lalu lalang dalam kepala dia..atau tak ambil berat pada judgement orang. Tapi kalau perempuan cun melecun, mungkin impress tu bukan sebab attitude, tapi lebih kepada sebab dia cun, itu subjektif lah, boleh jadi multiple impress.


Dulu masa belajar aku pernah crush kat sorang awek kedai makan depan stesen bas Kangar. Pertama kali aku datang dengan kawan aku dia jadi tukang amik order, time tu memang wow, dupdap, kali kedua datang dia masak kat dapur..sempat juga ushar sipi-sipi, naik sakit leher nak tengok sambil nak cover-cover supaya tak nampak lapar sangat.kali seterus-terusnya ada yang dia cuti..memang selera makan pun lari tapi tetaplah order makan supaya modus operandi tak dihidu pihak rakan sekerja crush kan. 


Paling best bila crush amik order dan kemudian crush masakkan pulak, rasa macam dapat bonus tahunan, rasa yippie. Rasa macam diawang-awangan, atau sebenarnya yang terbang adalah common sense meninggalkan badan kita. Iyelah orang tengah angau / baru jatuh cinta mana ada ikut logik dah, lautan api sanggup direnangi.

 

Aku rasa kebanyakkan lelaki mesti pernah ada crush dengan awek kedai makan. Pada aku perasaan tu mudah singgah sebab selaku pekerja kedai makan memang kena dan perlu melayan pelanggan dengan ramah dan elok laku, jadi sebagai lelaki mungkin akan terbit sedikit sebanyak perasaaan yippie tu, walhal awek kedai makan hanya buat kerja dia je.


Biasanya aku pergi kedai makan tu dengan sorang kawan lelaki aku ni, tak molek nak beramai-ramai sebab kita datang bukan nak buat jamuan, kita datang memang dengan satu tujuan untuk melihat crush, meskipun nasib tak selalu indah sebab kadang customer ramai crush terpaksa terperap kat dapur bermain dengan kuali, kesian dia panas-panas kat dapur. Nak bantu potong-potong cili atau bawang tak manis pulak pada pandangan masyarakat. 


Mula-mula kami buat relaks wat peace, tapi bila dah agak biasa makan situ, bila nampak crush relaks-relaks, kitaorang pun panggil crush lepak sekali kat meja. Nampak tak keberanian tu, kan. Sebenarnya kawan aku yang panggil, aku mana berani, aku just mengharap dalam diam, mengharap dan mengharap, mungkin sebab aku sedar diri yang daif, kawan aku pun sedar diri tapi eh sukahati kami lah. Ceritanya sekarang kitarang panggil dia lepak skali skejap, dapur kan panas.


Sesi ice-breaking pertama tu nampaknya diterima dengan mesra, sebenarnya lebih baik dari sangkaan. Rancak jugak perkenalan atau perbualan kami sampai crush macam taknak balik dapur dah. Mungkin muka kami muka orang baik-baik, maka salam perkenalan kami diterima baik, atau mungkin juga dia hanya melakukan kerja selaku orang kedai makan dan kami sebagai pelanggannya, entahlah, yang pasti nama dan nombor telefon dah dapat lah ceritanya. 


Hari-hari seterusnya pun menjadi sejarah pendek kami. entah kenapa perasaan crushing tu tak berpanjangan, aku syak mungkin disebabkan crush tu terlalu ramah bercakap sampai taknak henti, sampaikan kami rasa nak suruh dia pergi dapur masak lah apa yang patut. Atau memang ini sifat lelaki ? Bincangkan, tapi tu la tu, lepas tu pergi kedai makan mana-mana jarang dah jumpa crush yang macam ni. Rupa-rupanya dia ada kacukan siam, patutlah bukan main lawa ciptaan tuhan alhamdulilah. 


Rupa-rupanya dia yang masih belasan tahun dah buat macam-macam kerja , untuk menampung hidup dan sekaligus menyara adik-adiknya, setelah kehilangan ibu-ayah. No wonder lah crush nampak matang rautnya di usia muda. Adakah aku admire ? Impress? Crush? Kalau aku boleh impress pada perempuan yang having good time minum overprice coffee sambil baca buku kegemarannya, apakan daya untuk tidak salute pada perempuan yang sorang-sorang endure her teenage years having multiple job to make sure not only diri dia tapi adik-beradik dia survive, apakan daya untuk melawan hasutan hati. Nampak tak aku mensucikan niat aku..padahal kacukan siam tu bukan kaleng-kaleng.

Seram.


Sejak akhir-akhir ni bila malam menjelma je, bini aku bermonolog.


Bilalah barang i nak sampai ni”


Walaupun pada esok siang harinya barang yang ditunggu-tunggu sampai jua akhirnya, bila  malam datang lagi, monolog lebih kurang sama pun berulang.


Bilalah barang i nak sampai ni


Beberapa hari lepas tu barang dia pun sampai. Nampak lega dan aku tumpang gembira. Aku okey je barang yang dia beli tu walaupun kadang beli tak pakai-pakai pun, tapi sebab bukan pakai duit aku jadi aku garu-garukan je la kepala yang botak ni.


Tapi cerita belum tamat. Bila malam menjelma, mata dah sayu-sayu nak tidur dan kepala pun sedang elok berbantal. “Bilalah barang i nak sampai ni” katanya lagi. Betul-betul menghantui betul. 


Berapa banyak dia bubuh dalam cart. Kata hari tu dah uninstall. Aku pun beli barang online jugak, tapi takdelah sampai mandi tak basah tidur tak nyenyak. Nak kata barang yang dia beli tu urgent nau pun tak, tudung saji dengan comforter takdelah essential nau kan.


Sehinggalah pada suatu hari barang aku pulak yang sampai. 


Boros” katanya perlahan. Simple je dia cakap dan menjeling.





 Selongkar ke Alam PKPB



Zaman PKPB ni, apa yang ditunggu-tunggu bila menjelang hujung minggu?


Di sebalik norma baharu, mungkin boleh selongkar balik apa yang telah lama kita tinggalkan. Refresh.


Kasut sukan yang telah lama tak keluar rumah misalnya. Kesian dia tak dapat cahaya matahari, selalu bergelap di rak kasut tertutup. Sehinggakan dia pun lupa akan fungsi kewujudan, terfikir-fikir sendirian apakah dosanya hingga dikurung tak berteman.


Barang-barang yang simpan lamaaa dalam cart shoppe dan lazada tu pun nak tunggu bila lagi. Ini kalilah kasih keluar itu barang. KWSP yang simpan lama-lama pun buat apa, kasi keluar lah kang lemau. Apa ? Tak boleh keluarkan KWSP? Kalau camtu keluarkan lah ASB. Apa, takde ASB?  Keluarkan dana tabung haji. Apa, takde jugak? Maybe boleh minta hutang dari kawan-kawan.hmm.


Buku-buku yang telah lama tak diusik. Yelah time beli ituhari bukan main main bersemangat macam lapar buku sangat, pastu buku bertimbun dia dok scroll media sesial sampai kejung ibu jari kan. Kalau takde buku yang dibeli, mungkin boleh revisit buku lama. Atau kalau macam kawan blogger popular influencer https://zhicooper.blogspot.com dia baca terjemahan Al-Quran. Waduh waduh.


Boleh jugak blogwalking, circle blogger sekarang dah tidak begitu besar macam 5-10 tahun sudah yang tumbuh macam cendawan. Sekarang yang aktif aku perasan https://www.syaznirahim.com , punyalah aktif sampai keluar buku, tahniah beribu-ribu tahniah! 


Ramai yang telah mengalihkan prioriti ke arah lain. Kalau dulu single, bila dah kahwin sibuk dengan pasangan dah tak lepas nak tulis-tulis. Kalau dulu student, sekarang dah bekerja jadi berebut dengan komitmen office hour.

Ada juga yang beralih ke lubuk lain seperti youtube dan facebook yang lebih ramai audiens dan ada value dari segi monetary. Oleh itu, kalau ada blog yang menarik, tolong suggest!


Kemudian jangan lupa kalau ada stor kat rumah. Stor yang lama tergantung sepi, rancang nak kemas tapi tak jadi-jadi. Tahu dek Maria Condo meroyan dia dibuatnya. Kalau ada spider aku ok lagi, kalau ada lipas tu yang tak berapa nak tenang PKPB di rumah. Kalau rumah baru duduk 2-3 tahun okey lagi kut, yang dah menetap 10 tahun, hmmm..risau jugak kalau kluster hidupan-hidupan ganjil lak yang muncul..tiba-tiba ada anjing laut lak tengah timbang bola.


Tak lupa juga boleh selongkar hobi atau bakat-bakat yang telah lama dipendam menjadi jeruk. Mungkin kau dah lama nak cuba bercucuk tanam, belajar kung fu, mungkin dah lama kau nak cuba nak tulis puisi. Entah-entah kau ada bakat terpendam..entah-entah kau sebenarnya tak sedar yang kau ni ada saka, time PKBP sorang-sorang mungkin boleh mengenali saka dengan lebih rapat.


Buat apa saja yang lama ditinggalkan. Kita refresh suasana yang kemudiannya boleh memberi kesegaran pada fikiran kita pulak.


Kalau nak mesej Ex lama pun boleh. Time ni lah nak selongkar kisah pahit manis yang lama ye dak, kalau ada perasaan tak habis, kita habiskan, kalau ada marah berbaki kita crystalclearkan. Tapi kalau semua dah habis, tak payahlah mandaimandai bukak cerita baru pule..hikhuk. 



Sekian

Dah lama tak keluar rumah.






 Saban tahun ramai je yang tak puas hati siapa yang menang. Bagi lah sesiapa pun yang menang, mesti ramai yang tak puas hati. Sedangkan Siti Nurhaliza menang dulu pun ada je tak puas hati sampailah dia dah malas nak tercalon.

Ceritanya sekarang kalau kompang pungpang anugerah ni tak relevan, anugerah buang masa, dia sorang je yang handal benar tak kenal penyanyi tu tak kenal pelakon tu, tuptup dah keluar keputusan dia yang menggelabah sibuk komplen macam begitu penting sangat siapa yang menang untuk dia, dah kenapa dan mengapa tuan-tuan dan puan puan sekalian.

Kalau tak undi, kenapa kita perlu kisah / tak puas hati. Inikan gelanggang untuk yang turun mengundi.Macam kita tak undi pilihanraya, bila dapat result kita pulak yang itu ini, tak ke tak sesuwai. Macam kawan aku tak minat bola, team mana yang menang dia pedulitaik apa. Kita enjoy-enjoy dah lah.

Aku pun tak kenal Chubb-E. Tapi takpelah.

“Kita sekarang berada di zaman big data dan ukuran populariti juga boleh dijangkakan daripada data-data seperti ini.


Jadi janganlah jadi poyo kerana zaman berubah dan sekarang Anugerah seperti ini berada di tangan golongan yang meminati penyanyi seperti Haqiem Rusli, berbanding dahulu Anugerah ini berada di tangan golongan yang meminati pelakon seperti Eman Manan.” - Daniyal Kadir


Sebelum ni aku ada menyebut tentang besarnya impak internet yang pada mulanya untuk menghantar surat elektronik (emel) akhirnya telah membawa pejabat ke ruang tamu rumah kita. Tak perlu pergi pejabat, connect internet menerusi laptop terus menderu-deru kerja pejabat muncul ke skrin di rumah anda, tak cukup dengan itu tekan bideo skype terus muncul wajah-wajah rakan sepejabat anda yang belum mandi (seperti anda juga). 


Selain itu, sebenarnya internet juga telah membawa restoran-restoran ke meja makan rumah kita. Sebut saja nama restoran seperti mekdi, kepsi, keni rojes, sekret resepi, kedai mamak serba maju, termasuklah warung-warung kecil seperti gerai itik salai, warung Pak Jabit semua ada tersenarai, tinggal kau nak tekan-tekan dan makanan tu akan sampai ke pintu rumah anda. Dah serupa harimau dalam zoo, tinggal nak kunyah je. Lepas tu mengawan.


Rindu pulak pada zaman boleh makan ramai-ramai kat luar, duduk sambil makan sambil tengok bola atau menemani kawan tengok Hannah Delisha di skrin besar. Bila dah ramai-ramai tu, benda biasa-biasa pun boleh jadi kelakar..kalau orang lain dengar pun rasa terbakar. 


Pernah masa berkumpul untuk berbuka puasa di sebuah kedai nasi Arab. Masa tu ramai tapi tak ingat berapa ramai, 3-4 meja jugak yang kena sambung. Menu yang menjadi pilihan Nasi Mandy Ayam dan Kambing. Aku pegang pensil dan amik order bagi yang belum order. Tengah-tengah lapar tu aku pun cubalah untuk hiburkan diri sendiri.


Siapa ayam angkat tangan? Aku tanya. Pastu aku gelak sendiri geli hati sebab rasa kelakar ramai yang angkat tangan mengaku ayam.


Siapa kambing? Aku tanya lagi mengambil pesanan. Melihatkan ada kawan-kawan yang angkat tangan, aku gelak lagi rasa terhibur mengenakan orang. Kawan-kawan pun redha je sebab bulan puasa kalau bersabar pahalanya berganda.


Tunggu punya tunggu, azan pun dah kedengaran tapi Nasi Mandy Kambing dan Ayam ada yang belum sampai, termasuklah yang aku punya. Time tu perut dah sayu-sayu, sedang aku mengelamun menanti penuh istiqamah tiba-tiba waiter pun datang bawak beberapa pinggan Nasi Mandy Kambing.


“Kambing...” katanya.


Terus excited aku mengangkat tangan, separa sedar aku pun dengan tak semena-mena  “Saya kambing ! Saya kambing!”.

Time tu nak tekan brake pun tak sempat dah, orang dah gelak kepuasan keluar air kat hidung, langsung tak hormat orang lain nak berbuka puasa, huh.

Bila kena gelombang kedua WorkFromHome (WFH) ni, aku buat keputusan untuk beli meeja komputer yang murah-murah. Tanpa berbual-bual lagi terus aku tekan add to cart di Shoppe. Walaupun ada kesukaran untuk memilih nak beli meja yang gaya macam mana, akhirnya aku berjaya buat pilihan pada tanggal 10/10. Aku merasakan kalau WFH ni dah dijadikan budayakerja, aku harus ada meja kerja yang spesifik supaya kepala tak serabut dan badan lebih fokus/ berada dalam keadaan optimum untuk bekerja-sama. 

Sebenarnya tak pernah terlintas dalam kepala yang aku akan ada kerjaya bekerja di rumah ni. Masa aku tulis kat buku profil sekolah dulu, 3 pilihan cita-cita aku adalah ahli perniagaan, wartawan dan lagi satu aku ingat-ingat lupa la, mungkin jurubank kut. Tak pernah aku bayangkan ketika itu sebagai jurubank aku akan duduk di rumah tak pakai baju dan bercakap dengan client dari Hong Kong, yang mungkin tak pakai baju jugak. Sebenarnya banyak kerjaya pada hari ini tak wujud pun 10-20tahun lepas, youtuber misalnya, shoppe dan grab pun takde 10 tahun lepas, job creation akan bercambah mengikut peredaran dan pupus atas pusingan yang sama.


Masa bapak aku beli komputer kira-kira 20tahun dulu, masa tu adalah zaman internet mula diperkenalkan kepada raykat. Masyarakat umum sebenarnya tak tahu pun macam mana internet beroperasi dan apa gunanya, selain digunakan untuk chatting. Lagipun platform atau kegunaan tak meluas seperti sekarang yang maklumat tersusun di hujung jari. Besarnya impak internet, akhirnya kini internet telah membawa pejabat ke rumah kita, literally.


Aku ingat lagi bila komputer sampai kat rumah aku, rasa macam up level sikit, brader yang hantar tu siap pasang semua bagai dengan meja komputer, bila dah siap abang aku cakap ada internet ni. Excited. Aku yang tak tahu ni pun tengok atas-bawah, mencari internet, mana internet yang diagung-agungkan tu tak nampak pun. Pastu dorang tunjuk wayar yang disambung dari telefon rumah ke komputer. Aku pun pelik, inikan wayar, wayar aku dah biasa tengok. Tapi aku tak luahkan lah fikiran aku time tu takut jatuh hukum bodoh dan jumud, meskipun in the state of clueless aku diam je memerhatikan seolah-olah dunia ini berada dalam gengaman aku.


Lepas tu barulah dorang tunjukkan aku satu alam baru, aku time tu masih virgin internet belum pernah merasa atau melihat, keyboard dengan tetikus pun tak pernah pegang, orang lain mungkinlah dah pernah ke alam tu menerusi pintu-pintu cyber cafe, tapi aku belum, aku hanya mampu mendengar desas desus sahaja, alam itu dipanggil internet explorer...dunia WWW


Bila ayah aku pergi kerja, abang aku suruh bukak www.yahoo.com


Aku dah cuak, website lucah apa pulak dia suruh aku bukak. Lain maciam yahoo yahoo ni, iyelah yahoo tu bunyi macam menyeronokkan kan. Kang tak pasal-pasal kat skrin keluar gambar gadis-gadis yang merebahkan iman aku. Aku dahlah insan yang lemah dan mudah diperdayakan dunia. Dalam pada tak berani tu aku bukak jugak yahoo.com 


Tak ada apa yang bahaya rupanya, yang aku nampak kat situ ada macam berita-berita dan benda yang boleh dibaca-baca lah. Aku suka lah benda-benda gitu sebab boleh bawak jauh sikit pemikiran aku yang selalu duduk rumah je tu. Tapi lepas tu bil internet jadi mahal lah sebab dia kira tempoh masa guna, sekarang ye lah unlimited bukak 24 jam pun harga sama, dulu kira time memang koyak sikit lah poket bapak aku. Lagi pulak, time guna jadi lama bukan sebab kita guna macam-macam pun, tapi sebab dia slow, ada masanya dia slowww, dan ada masanya pulak dia slowwwwww (nak mampos). Time dia slow tu aku pejamkan mata, tarik nafas dan lepas, tarik nafas, tahan dan lepas. Bukak mata tengok internet masih slow, aku mencarut dalam hati, tahan dan lepas. Carut, tahan dan lepas. 


Itulah kisah meja komputer dan internet. Sebenarnya sebelum internet membawa pejabat ke ruang tamu rumah, sebenarnya internet 20 tahun lalu lagi dah memberi impak kepada aku. Lama kelamaan bila saban tahun dah berurusan dengan karenah dial-up internet yang slow, ia mula mendidik aku menjadi insan penyabar dan tenang. Terima kasih internet.


Cuma bapak aku lah yang mungkin tak berapa tenang dibuatnya setiap kali posmen hantar bil bulanan.

 

Syngonium : Aku tengok kau lama tak menulis?


F : Maksud kau, blog?


Syngonium : Blog, facebook..


F : Haha rasa macam tu lah. Pencen awal.


Syngonium : Jadah. Bukan dapat makan duit pencen pun.Kenapa.


F : Mungkin terlalu banyak benda nak tulis, sampai tak tahu nak mula yang mana. Macam nak kemas rumah, terlalu banyak benda nak kemas  tak tahu dan tak mula-mula.


Syngonium : Banyak sangat benda takut-takut jadi dark side kepalaotak kau.Mungkin kau boleh mulakan dengan conversation ni?


F : Ni?


Syngonium : Yaa..


F : Okey..ni pun boleh. Menulis as in free-spirit, bebas, membebaskan, membersihkan, menyuci ?


Syngonium : Macam onani la, kau kena lepaskan apa yang tersimpan. Then baru kepala kau fresh and fit. So how are you?


F : Kau samakan menulis dengan onani ke sial.


Syngonium : In a way..freedom, aspiration, imagination, emotion...peribadi...kau keluarkan something inside kau yang authentik..in a way lah maksud aku.


F : Kau metaforakan dengan kentut je kan mudah. Harmless but still very important.


Syngonium : Boleh jugak Fendi. Aku cuma nak suntik sedikit fun dalam bermetafora, bukan lagi kelam seperti senja berlabuh dan cahaya rembulan memecah kesepian.


F : Ok fine.


Syngonium : So how are you.


F : How are you as greeting or how are you like you really-real want to know? If for real, this going to be long...dan macam mana cahaya rembulan boleh memecahkan kesepian, cahaya mana ada bunyi?


Syngonium : How are you like what happen to your life lah. Is it sunny day or raining.


F : Nah..metafora lagi. Hmmm..recently aku ada housemates baru..


Syngonium : Housemates? Rumah kau sebenarnya ada berapa bilik berapa tingkat yang kau masuk housemates baru.


F :  : Persian Shield dan Monstera. Nama housemates aku tu.


Syngonium : Oooh lupa aku, kau sekarang bersahabat dengan pokok. Sekarang ni kau samakan pokok-pokok kau dengan teman serumah pulak.


F: In a way..menyuntik sedikit fun. On my own term.


Syngonium : Mana yang Fun.. ada pokok-pokok di rumah atau samakan pokok dengan housemates yang fun?


F : Dua-dun fun, double fun. Tapi ni bukan fun-fun macam fun yang kita selalu anggap fun, you know, lepak weekend jumpa kawan-kawan yang kita suka buat benda yang kita suka adalah fun, tapi fun pun ada different side of fun.


Syngonium : Mungkin sebab tu dunia kena ada metafora, personifikasi dan perbandingan, supaya senang untuk kita manusia memahami kehidupan, sebab sekarang ni otak aku terbelit dengan cakap kau.


F : Just fun je la kalau macam tu.


Syngonium : Takde metafora parabola?


F : Just fun.


Syngonium : Ok fun, fine.


F : Hah, betul rasa macam baru je excited tengok playsation keluar dulu, ataupun excited tengok kasut sport, sekarang tengok pokok kat IG pun boleh leka. Dulu tempat yang seram bila masuk adalah mall, sekarang pergi nursery lagi seram, mesti ada pokok yang ngikut balik.


Syngonium : Berapa banyak spesis pokok kau dah ada sekarang..your housemates..


F : Banyak juga..lebih 15-20 spesis rasanya. 


Syngonium : Banyak tu bagi yang baru mula zaman covid, rasanya kau dah another level.


F : Ya..rasanya kawan aku pun tak banyak macam tu.


Syngonium : Sedih.


F : At least kau ada untuk tanya how are you kat aku.


Syngonium : Aku ni manifestasi kau saja. Tapi facebook kau ramai jugak kawan.


F : Betul lah tu, zaman sekarang ni aku rasa kawan online dah boleh dikira sebagai kawan betul lah tu, dalam keadaan realiti kehidupan kita sekarang yang perlu ada penjarakan, dipenjarakan.


Syngonium : Setuju. Kerja pun dari rumah, takde pun orang cakap kerja secara online tu bukan kerja, kerja online pun tetap kerja ye tak..kena diberi gaji.


F : Ya ya..Berkawan dengan pokok pun tiada kurangnya juga. Banyak benda kau boleh belajar dari pokok.


Syngonium : Antaranya?


F : Pokok aku banyak daun yang jatuh, ada daun yang mati, dalam pada tu dia keluarkan daun baru jugak..jadi aku terbelah bahagi nak sedih pada kematian atau nak meraikan kelahiran baru.


Syngonium : Kalau ikut lumrah dunia..kita harus jalani apa yang di depan. Teruskan dengan apa yang ada. Mati takkan dapat dielak. 


F : Ya, cuma tak tahulah bila dan bagaimana. 


Syngonium : Kau manusia.Jasad kau mereput tapi jiwa kau immortal.. masih belum ditamatkan. Mahal jiwa tu.


F : Aku pernah ditanya kalau aku mati, aku nak ditanam di mana.


Syngonium : Mana.


F : Aku tak peduli sangat kut mana tempat aku ditanam. Tak pernah bother aku sehingga aku ditanya.


Syngonium : So sekarang , kau bother kat mana mayat kau akan ditanam?


F : Mayat tu macam aku mati kena bunuh je. Cakaplah jenazah atau jasad, sedap sikit aku nak menjawabnya.


Syngonium : Tadi kau yang nak samakan menulis dengan kentut, sekarang nak sedap pulak. Ok, kau rasa mana yang sesuai nak tanam jenazah kau.


F : Bukan, maksud aku, soalan tu bother aku bukan sebab jawapannya. Tapi, persoalannya la,kalau aku dah mati kenapa aku nak bother lagi pada jasad aku yang kosong ni..tak carry apa-apa weigh pun kan kat mana aku disemadikan..aku dah boleh terbang, bebas, abadi, kembali ke pulau harapan...


Syngonium : Bukan kau kena ikat dan kena seksa ke time tu.


F : Kahkahkah!


Syngonium : Depends la pada apa yang kita tinggalkan kat dunia, kalau hanya kentut busuk yang ditinggalkan usahlah nak pulau harapan, memang taklah nak hidup macam adiwira boleh terbang bagai. Entah-entah kena berlatih merangkak dari sekarang


F : Kemon..bagilah aku cerita fun-fun sikit.. ustaz-ustaz dah selalu cerita pasal benda gothik, tapi..tapi lah kan, aku ada google yang menurut kitab Ar-Ruh ada menyatakan, bagi orang yang boleh menjawab soalan Munkar dan Nakir,di akhir sekali malaikat itu akan berkata, “Tidurlah kamu sepertimana tidurnya pengantin.”


Syngonium : Simbolik tu. Ustaz-ustaz pun banyak guna simbolik, atau macam kita cakap tadi, metafora bagai.


F : Ya, hadis dan Al-quran pun ada kan? Banyakali kan kita dengar ustaz menerangkan pasal saiz sayap malaikat, kebaikan malaikat, dosa manusia, kepanjangan waktu dan cerita-cerita lain , banyak guna bahasa yang sebegini. Kadang seronok mendengarnya, tapi tu lah, mana ustaz dapat cerita tu pun nak tahu jugak.


Syngonium : Kitab-kitablah kut. Aku rasa kitab-kitab sufi pun banyak bahasa yang begitu. 


F : Itulah, jangan dicampur aduk sastera orang dulu, puisi dan sajak sebagai penyedap cerita sebenar sudahlah. Cerita hang tuah pun masih tak selesai.


Syngonium : sebagai manusia, masih penuh kekhilafan untuk membuat kesimpulan ye tak. 


F : Kita takkan dapat pernah simpulkan, sebab bukan kita pegang masa. 






Dari kecik aku memang didedahkan dengan permainan dam haji, permainan yang mengenyangkan dan berpahala sebab boleh makan-makan dan naik haji. Memandangkan dam haji ni macam permainan orang tua, biasanya aku akan berseteru dengan atuk aku. Sebenarnya lebih kepada jadi punching bag sebab sejak sekolah rendah memang akan kalah dengan atuk aku.


Aku akan berlawan dengan abang dan kawan-kawan aku sebagai latihan,selain menyeronokkan ini adalah sebagai persediaan atau latihan untuk aku kemudian berlawan dengan atuk (boleh dianggap sebagai medan peperangan sebenar, lebih menggetarkan aku) dan aku kalah setiap kali, seperti rutin persembahan sarkas yang diulang saban pagi hari raya..berulang dan membosankan. 


Atuk aku nampak je papan dam.

Dia excited ajak aku lawan. 

Aku pun susun buah dam.

Aku kalah.


Begitulah susunan rangkap yang menceritakan kisah kalah dam aku, kalau ini adalah lirik lagi, boleh nyanyi chorus ni ulang-ulang sampai bukan saja muka tumbuh jambang tapi bulu ketiak pun dah tumbuh kat siku.


Tapi awas, kisah belum tamat. Hero biasanya kalah dulu, kan? Bila aku dah masuk sekolah menengah, pengalaman aku mula bercambah dan aku mula menang dengan atuk aku. Bermula dengan sekali sekala, kemudian dahi atuk mula berkerut seratus mengenangkan cucunya bukan lagi mainannya yang dulu, pergerakan buah tidak lagi selancar dulu, sudah mula tersekat-sekat mengatur strategi baru yang lebih ampuh. 


Sampai suatu masa, aku menjadi invincible dan unbeaten bila berlawan dengan atuk. Itu jam kalau nak buat ayat lagak, lebih mudah untuk melihat harimau makan sayur daripada atuk mengalahkan aku dalam arena dam haji. Kemudian, atuk tidak lai excited melihat aku dan papan dam, kalau diajak lawan dia mula buat-buat sibuk macam tuk penghulu kampung, sejak dari situ tiada lagi perlawanan dam antara aku dan atuk, tamat, final. Persoalannya, aku sebenarnya menang ke kalah?


Bila masuk zaman main boleh tepuk, aku pun membentuk pasukan bola tepuk aku, yakni permainan yang mengunakan kad-kad yang ditepuk untuk menggerakkan bola yang diperbuat dari kertas, ditepuk dan bola menuju ke gawang untuk gol. Permainan ni pun menjadi kenangan zaman kanak-kanak aku, zaman tu mana ada playstation nak main game FIFA ye tak.


Aku biasa berlatih main bola tepuk ni sorang-sorang, kemudian bila hari cuti sorang kawan aku akan datang untuk perlawanan persahabatan, berkali-kali jugak dia datang mungkin sebab aku penentang yang baik. Kami memang ada mutual respect, kalah atau menang memang takde gaduh punya, masing-masing menghormati keputusan perlawanan tanpa menyalahkan pihak lawan. Lagi pulak, kemahiran kami lebih kurang sama dan perlawanan selalunya seimbang antara kami. Kalau aku menang pun menamg tipis, kalau kalah pun tipis.


Sehinggalah tiba di suatu hari yang bersejarah, hantu mana yang merasuk lain maciam lak pergi..pada hari tersebut aku menang 6-0. Tu pun kira dah habis kesian dah. Dari muka dia nampak riak kecewa dan macam koyak lah, lalu dia balik dengan hampa dan itulah kali terakhir , dah tak datang lagi dah untuk lawan bola tepuk dengan aku.


Dari situ aku belajar, sentiasa menang dan menjadi hero pun tak sedap mana. Atau boleh jadi , pihak lawan yang tak kental? Tapi, kalau main dengan tidak bersungguh-sungguh juga adalah satu jenis penghinaan kepada pihak lawan. 



Bila dah dewasa dan menceburi permainan komputer terutamanya FIFA, aku suka untuk mencabar pihak lawan yang lebih superior dari aku, biar kalah tapi puas. Bila kalah tu akan buat aku frust tapi dalam masa yang sama mencari formula untuk menambahbaik potensi. sebelum mahir main dam haji pun aku dah memeluk kekalahan macam sahabat baik yang mengajar kita menjadi lebih kuat. Tapi adamasamya / Kadangkala kalah tu tak dapat dielakkan, masa lawan game FIFA dulu aku pernah ditemukan dengan sorang yang memang diketahui umum akan kehandalan beliau, kalau main 5 set game, memang 5 set aku kalah walaupun FIFA adalah game yang aku selalu main. Tapi sebab aku memang suka betul main game FIFA so aku tak kisah sangat, just enjoy chasing the shadow pun takpe, mesti yang handal tu anggap aku sampah kan..tapi lagi sampah aku rasa kalau dia bagi muka kat aku.


Enjoy the game, kalau atau menang, kita raikan permainan yang kita suka.


Setiap peristiwa di jagat raya ini tak lebih tak kurang hanyalah potongan puzzle, mencari dan menemui adalah silangan bebenang di lembaran yang indah yang akan membuka hatimu untuk mengerti dan memahami siapa sebenarnya diri kita.

Di bawah mentari yang menyinari kota ini, terangnya menyuluh aku untuk menemui satu hakikat kebenaran, ada potongan rindu yang sedang berpaut, pada pokok-pokok yang ditinggal di rumah.




Norma baharu nak kena hafal baju / pakaian isteri lah pulak.Bila keluar di khalayak awam yang semua orang dah pakai pelitup muka, jadi keliru pulak bila nak detact isteri aku dikalangan ramai wanita berpelitup . Kang kalau buat pengecaman tubuh badan orang tuduh pervert pulak pandang-pandang badan orang. Tapi kalau hafal baju kang ada orang lain pakai baju sama pun bahaya juga.


Filem Roh ni aku nak tengok sebab ada Namron, tak pernah lagi aku tengok Namron berlakon tak best, kalau tiba suatu hari nanti bila mana Namron pun berlakon tak best, maknanya itu adalah Namron palsu..maknanya dah ada teknologi copy-paste manusia dan Namron yang asli telah dibekukan.


Atau mungkin ketika itu dia tengah berlakon pegang watak sebagai pelakon lelaki yang tak best dan memang jelas ditunjukkan betapa Namron berlakon tak best, demi menghidupkan watak. 



1. Kebiasaan tak semestinya betul, yang tak biasa tak semestinya salah. Bila aku dengar lagu, pertama kali mungkin rasa tak minat, tapi bila diulang-ulang rasa cenderung kepada minat pulak. Sebab tu bahaya hal-hal yang boleh mempengaruhi kita secara luar sedar, lebih-lebih bila kita tak perasan dah hadam makanan-makanan jiwa ni. Kalau baik okeylah, tapi kalau dah biasa yang tak baik pun rasanya baik ye dak.


2. Dont trust the influencer. 


3. Biasakan buat baik, supaya buat baik dapat diteruskan dan buat jahat tidak menjadi normal atau kebiasaan.


4. Bila difikirkan balik, mungkin sebelum kita tinggalkan dunia ni, kita tinggalkan benda baik, contohnya kita amalkan perkara baik supaya ianya jadi kebiasaan untuk masa-masa mendatang. Kalau kita masing-masing tinggalkan perkara tak elok, takut jadi kebiasaan lalu masa-masa akan datang benda tak elok adalah kebiasaan yang menjadi rutin. Perbuatan , lisan , hati.


5. Aku percaya pokok juga perlukan masa untuk membiasakan diri dengan sekeliling. Macam manusia, aku bila berada di tempat yang bersepah, memang akan stress dan rasa nak cari escapism untuk meredakan stress, pokok pun begitulah bila dibawakan ke tempat baru, atau ditukarkan pasunya, ada yang jenis mudah nak sesuaikan diri dengan persekitaran baru dan ada yang perlukan masa, tapi pokok bukan macam kita yang boleh keluar pergi jalan-jalan atau naik basikal untuk menangani stress, nak tak nak pokok kena hadapi stress, kalau beyond dia punya capacity untuk adapt memang dia akan murung, layu dan mengikut aturan alamnya - mati. 


6. Kita manusia kalau stress biasanya memang keluar rumah buat aktiviti yang sedikit sebanyak mengubah perspektif dan neutralize graf stress, asal stress je pergi bercuti, asal stress pergi bercuti, bila hilang stress balik rumah, stress lagi pergi bercuti, padahal mungkin apa yang kita perlu buat adalah mengemas rumah kita atau mengelak rumah daripada menjadi sumber stress. Tangani sumber stress, kalau tidak ditangani stress takkan habis pun..melainkan dah tak boleh nak ubah punca-punca tu, maka boleh cuba jadi pokok, adapt biasakan dengan suasana...bersepah atau bising, mengikut kapasiti masing-masing.

  • Draf-draf ni adalah hal yang aku boleh terang dan jelaskan, tapi aku banyak kerja lain nak buat masa ni..kalau disimpan lama-lama draf ni akhirnya dia akan jadi draf selama-lamanya, jadi aku terbitkan je la draf. Dah nama pun notapurba.com

ALOCASIA BAMBINO 

Semalam aku ada urusan di PJ, aku pun singgah nursery pokok melawat kawasan, sambil melawat tu mungkin boleh belajar satu dua perkara pasal gelagat pokok-pokok, atau mungkin boleh tengok harga semasa pokok-pokok. Atau mungkin boleh tenangkan fikiran. Ah banyak pulak alasan aku, nak pergi tu pergi je lah.

Bila masuk je nursery tu, semua pokok berdiri bagi salam, ada yang cakap bonjour mungkin baka dari Perancis, aku buat rock je jawab salam dengan acuh tak acuh dan suruh semua bawa bertenang, aku cakap kat dorang aku datang ni nak tengok-tengok korang je, jangan nak excited sangat, cash pun tak bawak banyak.

Tapi pokok-pokok tu dah dilatih oleh tuan kedai untuk tidak mengenal putus asa, masa aku pusing-pusing tu mereka meliuk-liuk dengan body seksinya, suara diserak-serakkan “please...please..you are handsome boy” bisiknya. Aku cuba baca doa-doa pelindung dan pendinding supaya tidak diganggu, lepas tu keadaan kembali tenang dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

Cuma bila dah bertafakur lama dalam nursery tu, lepas ke sana ke sini, ke sana ke sini, akhirnya akan keluar kalimah azimat yang diucap para-para kesatria pokok, iaitu “sini boleh pakai kad ke”. Dia confirm cakap “Boleh!”. Arakian, dengan lafaz itu maka runtuhlah pendinding menjadi abu..pelindung menjadi asap, selesai.
Pagi tu tayar kerusi roda aku bocor. Tertusuk paku, lagi.Dalam keadaan tayar bocor sebelah,tersenget-senget dibuatnya, namun aku teruskan juga kayuhan pulang ke rumah. Hujan yang tadinya turun lebat tiba-tiba terhenti seperti sudah habis sisa tangisnya dan kini masa untuk mentertawakan nasib aku. Sebagai seorang yang berjiwa humor, aku pun tertawa sekali. 

Aku boleh dikatakan seorang pengguna kerusi roda yang agak aktif juga. Kerusi roda ini pernah menemani aku menuntut ilmu di Perlis, makan pasembur di Penang, menyertai aktiviti kayuhan di tepian sawah padi di Kedah, menaiki jambatan angkat terpanjang di dunia, menikmati keindahan Pantai Cahaya Bulan di Kelantan, merentasi taman-taman awam di Putrajaya, melihat buaya diberi makan di Sarawak malah pernah singgah di beberapa pulau dalam negeri Sabah, sebuah pengembaraan berkerusi roda yang penuh onak duri berjaya dilalui tanpa kerusi roda ini mengecewakan. Namun, siapa sangka, ia bertemu babak tragiknya di tempat yang disangka paling tidak merbahaya, di hadapan rumah sendiri.

Tayar ini umpama kaki aku, melihatkan paku yang tertusuk ke dalam tiub, terasa tajamnya seperti kaki aku yang terpijak paku ketika aku boleh berjalan di zaman kanak-kanak dulu. Kenangan berjalan yang kian tenggelami waktu. Aku ada tiga kenangan berkait dengan kaki. Pertamanya adalah kenangan terpijak paku , kedua adalah kenangan kaki tersepit di rim ketika basikal yang aku bonceng sedang bergerak. Pergh, dia punya sakit memang tak cukup kosa kata yang aku ada untuk menerangkannya dengan tepat.Sakit. Ya, sakit. 

Yang ketiga adalah kenangan yang paling signifikan, yakni ketika aku terlibat dalam kemalangan di usia 6 tahun yang sekaligus menjadi detik bersejarah perkenalan aku dengan kerusi roda. Kenangan yang dulu aku rasakan pahit kini seakan menjadi manis kerana sekarang kalau diseterika atau dikarate kaki aku sudah tidak rasa apa-apa. Ini bukan ilmu kebal yang aku peroleh dari bersahabat dengan jin, tapi secara saintifiknya disebut sebagai ‘spinal cord injury’.

Kini ke ceruk mana dunia aku pergi , aku tidak lagi meninggal jejak kaki sebagai kenangan tapi jejak tayar kerusi roda. Kemalangan tersebut telah mengubah dan menggondam algoritma tubuh aku menjadi kurang responsif pada arahan otak, namun nasib aku baik apabila doktor mengesahkan kekacakan tidak terjejas dan masih seperti asal.

Tidak seperti kaki yang dikurnia tuhan, tayar yang bocor boleh digantikan. Berbanding pengalaman bocor tayar sebelum ini, sekarang aku sudah bersiap sedia dengan tayar pengganti, sedikit sebanyak ini telah menyelamatkan aku dari menjadi serabut dan kelam kabut mencari kedai yang ada menjual tiub. Tayar bocor adalah putaran nasib yang sudah tertulis, namun kalau ada tayar pengganti sekurang-kurangnya pen yang menulis suratan ini warnanya sedikit menyenangkan hati.

Nak mencari alat ganti untuk kerusi roda pula bukan perkara mudah, seperti mencari jodoh kaedahnya. Masa aku belajar di Perlis dulu, roda kerusi aku pernah terseliuh (baca : mengalami kerosakan), setiap kali bergerak dia akan tersekat dan menghasilkan bunyi teriakan. Bayangkan lah pada masa tu memang tak jumpa tempat nak baiki, kalau ada pun tempat alat ganti tetap tak sesuai , jadi nak pergi kelas tu agak menguji kerohaniaan juga. Dengan dibantu rakan sebilik, kami terpaksa menggunakan satu kaedah tidak konvensional iaitu ‘wheelie’, yakni mengangkat tayar depan dan menunggang seperti mat rempit di ambang merdeka.

Alhamdulilah pengawal keselamatan tidak mengeluarkan saman dan tiada yang tercedera dalam aktiviti berbahaya ini. Cuma perasaan malu tu ada terselit sedikit. Nampak sahaja seperti berseronok, tapi siapa je yang suka jadi tontonan ramai, lainlah kalau setiap view dikira seperti youtube, itu bolehlah dijadikan punca pendapatan. Pergi mana-mana orang memandang dengan wajah kesian kerana menggunakan kerusi roda, kemudian kerusi roda yang digunakan tu tak dapat diselenggara dengan baik pula, malu bercampur syahdu.

Cuma aku masih berjaya tapis rasa kesian yang dilempar, supaya tidak melekat kat hati aku sendiri. Sebab rasa kesian tu seperti virus, mudah berjangkit dan melemahkan sistem badan, terutamanya imunisasi mental. Pokok-pangkalnya, aku tidak boleh dibuat rasa kasihan pada diri sendiri, aku bukan orang yang kasihan.  Rasa kasihan akan perlahan-lahan membuatkan harimau berbelang emas dalam diri aku ini menguap,mengantuk lalu tertidur 600 tahun lamanya, bangun pada tahun ke-601 untuk pupus.

Tidak dinafikan orang suka melihat atau menonton aku, sehingga timbul rasa kurang selesa seakan-akan aku begitu asing bagi mereka. Mungkin di fikiran mereka penuh tanda tanya tentang kehidupan aku, sampai suatu tahap mereka turut tertanya-tanya bagaimana masa hadapan yang bakal aku lalui. Walhal kita sebenarnya sama sahaja, cuma mungkin jalan yang aku lalui bukan jalan utama, sebaliknya aku menggunakan jalan alternatif yang berlainan dari majoriti namun arah tujunya tetap sama. 

Sampai suatu masa, memandangkan ramai yang suka memandang aneh, aku menerima ini sebagai salah satu lumrah dan hak alam yang berlaku semulajadi, sebagaimana teluk adalah hak ombak,ombak adalah hak pantai,pantai adalah hak pesisir, maka biarlah segalanya berlaku seadanya. Aku pun mulai kurang merisaukan hal menjadi perhatian, sebaliknya aku pakai baju elok-elok, sarungkan kasut yang ada gaya sikit, serta tak lupa untuk tambahkan sedikit keyakinan dalam senyuman supaya bila bertentang mata dengan masyarakat, mereka dapat melihat ke dalam diri aku yang ada impian dan kekuatan. Untung-untung ada yang jatuh cinta, haaa itu cerita lain.

“Lihatlah aku, aku juga seperti kalian, punyai hati dan perasaan-perasaan, ini adalah kerusi roda, jentera yang aku gunakan untuk menggerakkan hidup aku. Seperti cermin mata dicipta untuk orang yang rabun, jentera ini berkhidmat untuk aku dengan tujuan kehidupannya , itu saja. Aku juga seperti kalian, ingin mendaki impian, merasa kegetaran dunia, kesulitan yang mencabar-cabar, mahu pergi jauh menjelajah mengenal misteri dan seni kehidupan lalu menyerap dan mengembang dengan inspirasi, menikmati sari pati hidup!”

Begitulah kalimatnya lebih kurang jika mahu dibikin sedikit dramatik dan ala novel.

Kerusi roda sememangnya adalah sahabat baik aku, kami berkenalan sejak aku berusia 6 tahun dan mengenal hati budi masing-masing. Namun, tanpa sokongan keluarga dan kawan-kawan juga roda itu tidak berputar selayaknya. Rakan di bangku sekolah, di universiti dan di tempat kerja memainkan peranan dan memberi pedoman yang penting dalam pada aku cuba mencari jalan alternatif tadi.

Untuk aku sendiri, harus sebaik dan semampunya memberikan imej yang positif dan progresif kepada kerusi roda. Kerusi roda ni umpama sayap dan kebebasan untuk orang seperti kami,  ya kerusi roda harus membebaskan bukan mengurung atau mengikat kita pada stigma dan prejudis.

Aku sedar dan tahu, untuk keluar dari rumah sahaja adalah sesuatu yang mencabar bagi sesetengah OKU. Ramai yang terperangkap di dalam rumah kerana akses di luar tidak begitu mengizinkan. Sekaligus menjadikan kita takut pada dunia yang tidak menerima. Akan ada kesukaran dan penolakan kerana ketiadaan akses, kewujudan tidak diiktiraf sewajarnya seperti kita mahu mengeluarkan duit dari mesin ATM tapi gagal dan muncul paparan notis “Kad yang dimasukkan tidak sah”. 

Semasa mula-mula merantau ke Petaling Jaya dulu, aku banyak menggunakan pengangkutan awam untuk ke sana ke sini. Teksi adalah pengangkutan yang mewah bagi sesetengah orang, tapi boleh jatuh hukum ‘keperluan’ bagi OKU. Selain memerlukan wang ringgit, OKU juga memerlukan ketabahan untuk mendapatkan teksi.

Kalau ada 5-6 buah teksi beratur panjang, yang depan akan tunjuk insyarat untuk tanya teksi di belakangnya, kemungkinan kita kena berunding sampai teksi paling belakang baru lah akan ada teksi yang sudi hantar ke tempat yang hendak dituju. Kalau tidak kena ulang semula dari hadapan untuk naikkan sikit harga untuk mengubah keputusan pemandu teksi. Untung sekarang sudah ada perkhidmatan E-Hailing secara meluas, mereka sudah diajar secara praktikal dan adanya polisi untuk menyantuni OKU yang mempunyai keperluan khas. 

Sebagai OKU, kesukaran yang dialami dari aspek fasiliti bangunan dan pengangkutan sudah aku alami dan ianya adalah cerita yang berulang. Adakalanya, situasi ini membuatkan aku tidak dapat mengelak dari merasa geram bercampur kecewa. OKU amat takut pada tempat baru yang tidak diketahuinya. Apabila berdepan dengan tangga misalnya, aku terasa seperti pendatang asing tanpa permit, setiap anak tangga di hadapan itu adalah polis yang mengacu pistol. Perasaan gementar akan muncul  seperti peluru meluru laju ke jantung membunuh detakan semangat tersisa.

Walaubagaimanapun, aku sering mengingatkan diri sendiri, untuk sentiasa tenang dan terus memberi respon dan reaksi yang membina dalam apa hal yang boleh memberi input dalam proses menaiktaraf kemudahan dan sekaligus kesedaran terhadap OKU. Hal ini harus berjalan berterusan sampai jadi. Dalam masa yang sama, aku juga menggalakkan rakan seperjuangan untuk bersama-sama memberanikan diri meneroka ruang-ruang yang boleh diperbaiki. Orang kata, bersatu bertambah mutu.

Bila ada rakan seperjuangan OKU yang takut atau curiga untuk kemana-mana kerana akses yang tidak pasti, aku akan cuba kongsikan pengalaman peribadi aku yang boleh mengubah persepsi mereka. Aku juga akan mengajak mereka untuk keluar sama-sama, dengan harapan dapat menjentik sedikit keberanian dan memberi panduan, kalau ada kawan sekurang-kurangnya berat sama dijinjing, apa jua yang berlaku kita hadapi dan ketawakan bersama.
Sehingga ada antara kawan aku yang pada mulanya kalau nak ajak keluar tu perlu berunding panjang, sekarang sudah berani keluar sarapan dan tengok wayang di kotaraya sendirian, tak ajak aku pulak tu.

Bila ada rakan seperjuangan yang tidak cukup semangat untuk mengayuh kerusi roda, kebanyakkan masanya mengharapkan bantuan orang lain untuk menolak dia ke sana ke sini, aku cuba mempengaruhi dia untuk menjadi lebih kental supaya kehidupannya dengan kerusi roda bukan sekadar hidup, tapi hidup yang lebih mengujakan. Kini dia bukan sahaja mengayuh kerusi roda lebih laju daripada aku, bahkan telah menamatkan marathon 42km dengan jayanya pada tahun ini. Hebat bukan? Perangai macam sarang tebuan, baru dirodok sedikit semangat, sudah meradang!

Kita harus bina ‘Norma Baharu’ untuk warga OKU, bertenaga dan berdaya saing dalam apa jua bidang, sehingga menjadi sebahagian dari masyarakat yang dipandang hormat dengan kredibiliti dan kebolehupayaan tinggi. 

Seperti peristiwa tayar aku yang bocor, kita mungkin teragak-agak untuk keluar dari kubu persembunyian kita yang kita rasakan selamat, walhal yang menjadikan kita kuat adalah ketakutan-ketakutan yang berjaya kita patahrenyukkan. Roda harus terus berpusing kerana lumrah siang dan malam tak akan menunggu. Hidup penuh liku-liku, onak dan paku, jangan sesekali berundur. Mari keluar mencari semangat dan inspirasi di setiap selekoh hidup, kerana kita belum tahu inspirasi mana yang akan membawa kita menyusuri hakikat kewujudan. 


Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home