Senang je nak bagi perempuan marah.

Panggil dia "Kak".
penutupan tol

Antara soalan yang rawak bila berjumpa kawan-kawan yang sudah lama tak berjumpa ;

Dah ada cuckoo?
Dah ada insurans?

Bukan nak kecam. Saja je nak kata. Kawan-kawan juga boleh dijadikan client, prospek atau networking. Ada juga kawan-kawan yang boleh dijadikan boss.

Ramai juga kawan yang tanya pakai kereta apa, anak dah berapa, rumah dah beli ke.

Bukan tak suka. Saja je nak kata. Memang inilah cara kita nak mengikuti perkembangan kawan-kawan kan. Berbasa-basi sekadar di permuka-mukaan. Mereka / kita akan tanya dah ada itu dah ada ini, seperti hidup ini satu perjalanan di pasar malam untuk memiliki sesuatu yang boleh dijinjing.

Cuma disebalik segala perkembangan dan kepesatan hidup, ada satu hal terpenting yang kita terlupa. Kalau kau ada jumpa kawan yang tanya /kisah secara literal atau tidak, " kau happy?'. Kawan macam ni lah sebenarnya kawan yang signifikan dan tempatnya di hati terdalam.

Atau lebih parah, kita pun menyangka happy adalah memiliki apa yang orang lain miliki meski bukan kemahuan sendiri.


Apa yang masuk ke fikiran aku sesudah menonton filem ini adalah tentang pengorbanan yang dilupakan / tidak diangkat selayaknya. Bayangkan pekerjaan-pekerjaan yang meletakkan nyawa sebagai taruhan, pun tidak dihargai dan diberi perhatian setimpal, inikan pulak pekerjaan pejabat-pejabat seperti aku, apalah sangat. Selepas ni kalau kita lakukan kebaikan dan tiada siapa yang berterima kasih, bertenang saja wahai orang muda, kerana ketika ini ramai pejuang sedang bersiap sedia dengan nyawa dan kita tidak perasan pun, balik kerja kena hujan pun badan dah merajuk, belum dihujani peluru lagj, yang kita perasan adalah betapa lazatnya gambaran makanan-makanan di instagram.

"Rezeki itu bukan sahaja dari wang gaji, tetapi dari kehidupan yang harmoni"- Syazwan Hardy


Boleh dikatakan kat pejabat aku tak seperti diri aku di ruang bukan pejabat, mungkin sesekali tu terjadi juga diri aku yang bukan pejabat di pejabat itupun masa bos tak ada, di pejabat aku agak serius meskipun adakala muka saja serius namun di laman fikiran aku sedang bermain gelongsur dan jongkang-jongket.

Dalam sedang serius, aku agak terhibur jugak mendengar team lain yang berdekatan bukan main gelak dan riang ketawa. Kedengaran merdeka tawanya, aku dapat bayangkan betapa berat juga kerjanya pasti bila pulang dia rasa gembira dan penatnya berbaloi.  Aku cuba ikut rentak gelaknya, ha ha ha aku cuba, tak terasa langsung kebahagiaannya, aku cuba lagi kah kah, tak dapat juga meminjam ilham kebahagiaan mereka di ruang kerja. Aku berhenti di situ sahaja dan teruskan sahaja kerja-kerja aku.

Minggu lepas aku pergi Penang bersama rakan seperjuangan ditemani juga oleh teman berkelahi. Orang bandar panggil benda yang aku buat ni short vacay. Kali ni aku tak naik kereta sendiri tapi menggunakan pengangkutan awam. Aku puas hati jugak trip ni walaupun hujan turun tak tentu masa. Trip atau percutian yang aku suka biasanya ada aktiviti fizikal sikit, lasak tak lasak tu belakang cerita janji ada sukan-sukan sikit, kat Penang tu memang banyak bergerak dari satu check point ke check point seterusnya menggunakan kudrat badan tenaga sendiri.

Di samping dapat bergaul dengan masyarakat sekeliling, berjalan kaki juga memberikan persepsi dan pengalaman yang berbeza berbanding berkereta sana sini. Sama jugaklah,  kalau nak kenal seseorang berbeza kenal melalui wechat dengan kenal secara berjabat dan bersalaman.Atau berkelahi juga kadang membuat kita lebih mengenali.



Perlukah setiap insan mempunyai identiti tersendiri?


Identiti dikaitkan dengan perkara silam, apa yang berlaku sebelum, cuba kita padamkan segala yang silam, kita pegang pada yang sekarang, kita pilih identiti yang kita rasa kita mahu, kita jadi apa yang kita mahu, lakonkan dan serap, kemudian..adakah yang silam begitu signifikan?

Adakah ini erti kemerdekaan dan kebebasan yang dicari? Tanpa dibelenggu kepatuhan pada kehendak identiti.







Kalau kau taknak apa yang orang lain nak, kenapa perlu bergetar tulang punggung kalau kau takde apa yang orang lain ada. Semua orang ada mimpi yang berbeza, walau tidur kepala tu berkongsi bantal pun mimpi takkan selari.

Sekadar contoh random,kalau kau tak minat Iphone, tak perlu pun mendesak-desak nak beli iphone sebab kawan-kawan lain pakai iphone. Bila kau beli nanti kau tak rasa best pun dengan iphone, cuma kau rasa dapat release dari pressure untuk diterima khalayak kau.(Contoh lain : hobi, financial plan pun tak semestinya sama dengan pakcik makcik kau, family planning)

Once kau tak terkapai-kapai pada mimpi orang lain, kau akan rasa bebas dan bahu tak berat seperti ada saka monyet menumpang kiri kanan. Jadilah watak utama dalam mimpi sendiri, sebab dalam mimpi orang lain kau hanyalah bayang-bayang kesamaran, hantu pun bukan, orang pun bukan.


p/s : A dream is a succession of images, ideas, emotions, and sensations that usually occur involuntarily in the mind during certain stages of sleep. The content and purpose of dreams are not fully understood, although they have been a topic of scientific, philosophical and religious interest throughout recorded history.Wikipedia
[Kelana]
Hampir lelah hampir jatuh diri ini
Bila separuh semangat tiada di sisi
Tak mengapa ku tempuhi dugaan
Bukan mudah berjalan berseorangan

[Agenda]
Tubuh yang mengah lesu, berkais dan melombong
Pulang menapak laju dalam langkah yang melonjong
Yang menegur khabarku, berpaling bukan sombong
Titikku kini satu senyumkan yang dah melolong
Kadang terkena pedang bermata dua kurebah
Sedang terleka pandang permata disengat lebah
Biarpun lelah, lara takkan gundah dalam lemah
Ku sedar bukan mudah diludah beransur kebah
Pecah jari-jemari tekan tubi pensil kayu
Resah harianku telan ubi berkipas bayu
Bangkit hadap mentari biar terik ku tak layu
Berlari kerah lagi selagi ku dirgahayu

Tiada yang ringan dalam hal yang dititik-beratkan
Tekanan, perjalanan jadi pengalaman beratkan
Bermula dari angan bergiat sampai ke tua
Masih terngiang suara ibu membisik petua

[Chorus - Kelana]

[Zizi Kirana]
Berjaya melangkah pagar kawat berduri
Percaya, adakah hidup ini berjuri?
Sentiasa dihakim, dihukum darah sendiri
Berjasa pun dihakim, dihukum jasa dicuri
Bersuara lantang ku tiada cara dipertengah
Berdiri tegak aku nak diendah hingga megah
Berdiam diri pula dibakar hati disergah
Menyiram benih cita nak bercambah bukan mudah
Ke langit tidak sampai ke bumi tidak terpijak
Sesak nafas tergapai, maka tangkis dengan bijak
Mana langit kujunjung di situ bumi kupijak
Usaha yang kan usung pergerakan harus bijak
Bersedia di zahir mahirkan dari dirantai
Usah endah yang diraptai gusar hilang nak bersantai
Rujuklah awal akhir sebelum merempuh badai
Demi yang menanti jangan sekali maruah digadai

[Chorus - Kelana]

[Malique]
Dengarkan, fikirkan, zikirkan, dikirkan
Serapah pejuang-ulang sehingga mahkota dijulang
Dari putih mata, biar putus tunjang, putih tulang
Walaupun terbuang, dampar dasar cerun curam suram
Kalau hati bercahaya pasti temui jalan pulang
Tukar orientasi, modifikasi modus operandi
Digantikan cogan, gantikan slogan, hidup lataif nan mati
Diasahkan taji, kibarkan panji-panji, ingati janji-janji
Serikandi masih menanti-nanti di menara candi

Ya, menara candi
Masih menantikanmu di menara candi

(Chorus: Kelana)

(Outro: Malique)
Damba domba putih atau domba emas jati
Hanya satu punya sakti tikam hati-hati
Patah-patah yang bercambah menambah risiko
Muncul kemenangan bila terhapusnya ego



Munafik 2


munafik 2


" Akan ada satu (makhluk) lagi yang muncul dan menghasut anak adam selepas syaitan dan iblis iaitu DAJJAL ! "

1. Aku cukup memandang tinggi pada filem Munafik yang pertama, terutama sekali pada penyampaian atau sisipan idea dan nilai keredhaan yang sebenarnya sukar nak diperjelaskan dengan perkataan, aku tak sempat nak ulas filem Munafik pertama tapi boleh dibaca di blog manusia berubah, memang padu dan sekaligus menjatuhkan hukum wajib tonton pada filem Munafik 2 .

2. Ini adalah filem berat dan serius. Agak sukar untuk menjadi begitu teliti apabila menonton dalam keadaan letih dan sedikit mengantuk, fokus tu akan goyang sikit. Dari satu segi agak mudah untuk aku katakan Munafik 2 sebagai tak best ,  tapi cerita ni aku rasa memang dibikin kompleks dengan plot dan mesej yang agak 'dalam'..antara sampai dan tak sampai, nak faham secara pandang pertama kena laju dan ada asas dalam topik-topik tertentu.

3. Ada ketikanya aku agak rimas jugak dengan pengisiannya tapi kena lah senario semasa. Dalam filem ni menggambarkan bagaimana manusia berlawan siapa yang lebih patut masuk syurga siapa yang patut ke neraka, siapa lebih tinggi ilmu, siapa sebenarnya penunggang agama dan siapa sesat siapa tak sesat. 

4. Level seram aku rasa boleh dipuji, visual dan persembahan hantu /syaitan memang terbaik. Macam biasa cerita seram banyak terkejut-terkejut. Tapi secara peribadi kat aku, takdelah sampai rasa nak terkencing atau terbayang-bayang.

5.Dialog antara Ustaz Adam dan hantu-hantu yang muncul mengandungi pesanan dan petunjuk kepada ustaz Adam dan juga penonton. Kalau terlepas maybe kena repeat. Ada juga ayat-ayat pemusnah sihir atau ayat untuk melindungi diri dari sihir, pengarah mesti dah buat kajian tentang perubatan Islam. Dalam masa yang sama ada ilmu dan dakwah.

6.Aksi berlawan pun agak menarik, cuma aku tak boleh terima ada scene Sakinah ( Maya Karin) dengan sewenangnya 'membelasah' konco-konco Abuja (Nasir Bilal Khan) tanpa banyak tentangan.Watak Abuja tidak diperkenalkan dengan baik,tanpa asal usul dan sebab musabab terus wujud secara stereotaip, nampak ada kelompongan meskipun lakonan bagus.

7. Ada ilmu yang boleh diperhalusi, secara spesifiknya berkenaan dengan fitnah dan dakyah-dakyah yang susah untuk kita jangka dan kenal. Perjuangan fisabilillah penuh rintangan harus dilalui. Kerja dakwah memang kerja antara hidup dan mati, musuh yang di depan bukan acah-acah.

8. Filem Munafik 2 ni ada berkait dengan jalan cerita Munafik 1, sedikit sebanyak persoalan di Munafik 1 ada dijawab dalam filem terbaru ni. Pergolakkan dalaman Ustaz Adam pun memang dilihat masih berlanjutan sampai sekarang.

9. Secara keseluruhannya tak patut aku kata filem ni 'tak best', cuma mungkin plot agak kekok
di mata aku. Selebihnya memang berbaloi dan tidak akan bertaubat untuk menantikan Munafik 3.




kebanyakkan pekerjaan yang dilakukan adalah waste of time.kitaran hidup yang dilalui dalam tempoh 24 jam sehari , 8-9 jam bekerja , balik dan berehat supaya esok dapat bekerja semula, balik dan berfikir untuk ke kerja esok, pergi shopping beli kasut dan baju untuk pergi kerja, pergi kerja pulang kerja naik kereta yang dibeli guna duit hasil  kerja, gunting rambut beli mekap untuk nampak steady di tempat kerja, kerja dan bekerja lagi dan bila pulang bercakap lagi tentang kerja yang sudah dilalui, its all waste of time. demi pendapatan yang sebahagian besar untuk menyambung kelangsungan untuk terus bekerja. kitaran bekerja untuk terus bekerja harus dihentikan. bekerja sepatutnya menjadi alat untuk hidup , bukan hidup diperalatkan untuk bekerja. balik dari kerja aku harus buang mentaliti seorang hamba /mesin, ikutlah lepas tu nak menari raver ke, nak baca  buku ke, nak belajar jahit ke, nak lawan FIFA ke, nak tengok video Aiman Tino ke,tulis blog ke, kutuk filem ke, patut lebih hidup selepas waktu bekerja,  hidup yang sebenarlah, tak kira apa pekerjaan untuk mencari rezki, bukan selepas bekerja aku berehat untuk memberi tenaga supaya dapat bekerja.ajarkan aku untuk hidup, semula.

supaya ketika aku 61 tahun seusia negaraku Malaysia , ditanya apa yang telah dilakukan , bukan bekerja jawapan diberi. 

Filem Hantu Kak Limah

hantu kak limah
Hoiii Limah oiii.....

1. Per per... sebagai seorang peminat filem-filem Mamat Khalid, aku gembira melihat kutipan tabung filem ini memecut laju sepertimana lajunya  Yeh sekupang, Husin, Wani dan Khuda berlari apabila dikejar Hantu Kak Limah. Kalau bukan sebagai filem terbaik, bolehlah meletakkan filem Hantu Kak Limah. sebagai paling menghiburkan dekad ini? Yang pasti , filem paling pecah rekod dan pecah panggung.

2. Watak-watak memang hidup, salah satu kepakaran Mamat Khalid adalah menghidupkan watak. Bagaimana dia boleh menghidupkan watak? Tentunya dari orang-orang sebenar yang wujud di kalangan kita. Kalau Mamat Khalid nak hidupkan seorang mekanik, bukan saja di tangannya ada spanar dan kesan minyak hitam di bajunya, namun Mamat Khalid persembahkan juga pemikiran dan akal seorang mekanik.

3. Jalan cerita tak sedap sangat, lebih kepada babak-babak susulan / ulangan dari Hantu Kak Limah yang lepas. Macam cerita yang diceritakan semula pun ada, tapi apa ada hal, kau tengok cerita Spiderman tu sampai 5 versi pun orang tak heran. Resepi yang sama cuma salutannya lah yang ada tipikaliti, hipokritikal dan isu-isu sosial mahupun politikal.

4. Filem ini boleh menjadi begitu fenomena bukanlah sebab ianya lebih bagus dari filem Mamat Khalid yang lepas-lepas, tapi aku rasa filem Mamat Khalid yang lepas-lepas adalah gabungan promosi secara tidak semena-mena yang melariskan filem Hantu Kak Limah yang kali ini, follower sikit-sikit membukit/

 Umpama banjir, yang disebabkan oleh titik-titik kecil hujan.

5. Kelakar. Filem Hantu Kak Limah ni memang kelakar. Ada orang suka kelakar moden macam Harith Iskandar, ada orang suka kelakar macam Zizan dan ada yang suka macam Mamat Khalid. Yang aku tengok kelakar jenis Mamat Khalid ni boleh hidup zaman berzaman , mungkin sebab ada elemen macam Tan Sri P. Ramlee sikit yang jenakanya ada simbolik dan cerminan pada sesuatu idea / pemikiran. Aku tak boleh hadam kalau orang mesti nak kaitkan kelakar dengan bodoh. Sebab pada aku, orang yang betul cerdik jarang yang tak kelakar. 

6. Aku paling suka watak Yeh Sekupang dalam filem ni. Naaah...H.K.L!! 

7. Biasanya kalau tengok wayang, seat yang depan sekali memang orang tak mau duduk sebab nanti kena dongak kepala, tapi masa aku pergi tu memang semua penuh, jadi tak hairan kenapa boleh begitu tinggi pungutan untungnya. Masa aku pergi tengok cerita ni, tak cukup 1 tiket lagi untuk kawan aku sebab tiket dah habis. Punyala nak tengok, kami suruh dia beli tiket filem Tamil kemudian masuk tengok filem Hantu Kak Limah, bawak kerusi sendiri lah tapinya kat belakang sekali.

Staff kat kaunter siap tak yakin lagi..."Betul nak tengok cerita ni?"

8. Ini bukanlah filem yang serius, filem ini bahkan tidak mahu jadi serius, bila ada masa-masa yang serius pun pengarah akan pijak keseriusan tu supaya tak begitu serius. Ini lebih baik daripada cubaan nak buat filem serius dan jenis berfikir tapi hasilnya kelakar. Filem ini nak buat orang santai tapi boleh difikirkan pengisiannya mengikut persepsi masing-masing, macam filem P.Ramlee la, masa kau tengok umur 6 tahun lain, bila tengok umur 16 tahun lain pulak perginya, bila tengok sekarang lain lagi padahal filem yang sama kau tengok, yang berubah sebenarnya adalah cara kau melihat, alamak terserius pulak.

9. Ada beberapa babak yang mengekploitasi kecantikkan wanita. Sejenis art jugak ni kut.

10. Pertama kali aku tengok wayang cerita yang sama dua kali, ini kira yang pertama lah. Kalau kat rumah, aku pernah tengok cerita Bunohan dan bila dah habis aku ulang semula dari awal sebab tak faham masa tengok kali pertama. 
BENLADIN - HIKAYAT (Lirik)

Chorus Benladin .. Benladin Mereka keluar masuk gua, Mencuba mencari di mana ada, Mencuba meneka di mana saya, Mata kasar takkan dapat jumpa. Niat enson matakaji semar ngiseng, Aku lah Benladin, hikayat Benladin.. Verse 1 (ok..ok..) Suara dah bergema, Suara sakti hamba, Dalam gelombang membawa aura ke udara, Separa manusia separa luar biasa, Gurau senda dengan kata kata sang pujangga. Kalau main api janganlah tambah gasolin, Mesti hati hati janganlah seperti lilin, Jika mahu terang biar terang dengan betul, Jangan jadi arang jadi arang buat kotor. Kerna atas muka ada selendang suci, Maka hias ia biar terpampang seri, Akulah ilustrasi definisi gergasi, Terhasil dari experimentasi radiasi bunyi. Buka mata minda luas seperti lautan, Usah fikir bukan bukan kata bukan bukan, Nenek tua si bongkok tiga, ( huwooo ohhhohhh hooo ) Cubalah nenek cari cucu di mana ada. Chorus Mereka keluar masuk gua, Mencuba mencari di mana ada, Mencuba meneka di mana saya, Mata kasar takkan dapat jumpa. Niat enson matakaji semar ngiseng, Aku lah Benladin, hikayat Benladin.. Verse 2 (yaw..yaw..yaw..) Masuk tempat orang jadi kucing bukan singa, Jangan cuba jadi cacing nak jadi Garuda, Jika mulut murai tukar paruh jadi tiong, Kalau cuma gusi jangan lagaknya bersiong. Setakat dua tangan janganlah nak berangan, Si tikus datang bekal dua belas beruk baran, Telan lauk enak lepas makan pandai simpan, Pandai pandai lah tanggung binasa perbuatan. Pecut laju laju sampai dia terpelanting, Bukan perkara bijak lari lari bawak gunting, Di ajak berteman rupanya musang berjanggut, Pura pura sejuk masuk berkongsi selimut. Baik berpada pada jahat jangan sekali, Hidup punya hukum karma kau harus mengerti, Salam perkenalan dengan ritma dan puisi, Nama patik Benladin mengundurkan diri. Putih putih melati Ali Baba, Merah merah mawarnya Si Norsiah, Jika diikutkan rasa Kassim Baba, Kelak akhirnya berputih mata. Chorus Mereka keluar masuk gua, Mencuba mencari di mana ada ( Di mana), Mencuba meneka di mana saya ( Dan di mana), Mata kasar takkan dapat jumpa. Niat enson matakaji semar ngiseng, Aku lah Benladin, hikayat Benladin.. Putih putih melati Ali Baba, Merah merah mawarnya Si Norsiah, Jika diikutkan rasa Kassim Baba, Kelak akhirnya berputih mata. oohhhhhhh woooooo woowwoooo...





Masuk peringkat suku akhir, raja bola dalam badan aku awal-awal dah bisik yang Final 15 hb July nanti adalah perlawanan antara Perancis menentang Crotia. Bisikan tu memang aku dengar dengan jelas dan nyata., ini adalah suatu kebenaran. Benda ni aku dah sampaikan kat group-group whatsaspp, yang percaya tu percayalah, yang tak percaya tu rasanya menyesal sampai sudah sebab berkiblatkan Brazil, England dan Belgium.

Secara peribadinya, piala dunia tahun ni aku tengok banyak gol masuk menerusi sepakan penalti. Gol yang cun-cun tak berapa nak ramai tapi tetap ada satu dua. Penjaga gol nampaknya ramai yang tunjuk hero menyelamatkan cubaan-cubaan berbahaya, serta pasukan-pasukan dari eropah mendominasi pertandingan. Selain dari itu, tiada apa yang mengejutkan apabila melihat pasukan seperti Germany, Portugal, Argentina atau Brazil pulang sedikit awal.

Argentina memang dari peringkat kelayakan, atau 4 tahun sudah, 8 tahun sudah pun syahdu, memang tiada tanda-tanda kebangkitan, Argentina kalau layak ke Final sebenarnya adalah lebih miracle dari Argentina keluar awal. Messi tu dah main sejak 10 tahun lepas pun tak boleh buat apa, Maradona yang dikatakan tuhan bola oleh rakyat Argentina pun tak dapat nak mengubah DNA bola sepak Argentina.

Germany sebenarnya lebih kepada complacent. Meskipun tewas di peringkat kumpulan namun aku tetap merasakan Germany sebuah pasukan yang bagus di setiap bucu. Joachim Low dah jadi manager sejak 12 tahun lepas, mungkin dia lebih memerlukan kekalahan daripada kemenangan , untuk dapatkan balik inspirasi dan pedoman untuk kembali dengan Germany Baru, ingat Malaysia je ke ada Malaysia Baru.

Brazil pulak walaupun gaya dan kerakusan tu seperti menjanjikan bulan dan bintang, namun Brazil yang dulu bukanlah Brazil yang sekarang. Apapun, terima kasih jugak kepada Brazil kerana berjaya menghiburkan peminat bola sepak seantero dunia dengan bermain bola sepak secara pantas, kemas dan bermutu. Kalau tengok gaya samba yang meliuk-liuk tu masih menebal, cuba perangai Neymar yang melantun-lantun tu kena kurangkan sikit. Amboi sedap pulak aku mengata Brazil.

Terus ke pasukan soft spot aku pulak iaitu England. Layak ke semi final sebenarnya dah beyond expectation sebenarnya sebab korang jangan lupa yang mereka tiba di bumi Rusia sebagai bukan pasukan pilihan pun. England ni pasukan ejekan je, 'its coming home' pun asalnya adalah statement sarkastik dari peminat England sendiri seehinggalah tiba-tiba England layak ke semi final..haa..terbelah bahagi lah dibuatnya. Apapun, layak ke Semi Final dengan bermodalkan barisan pemain suam-suam kuku( yang power hanyalah seoarang iaitu Jordan Henderson dari Liverppol ) sudah dikira syukur alhamdulilah lain kali cuba lagi.

Crotia, aku tak faham kenapa orang tak dapat lihat Crotia sebagai pilihan, Crotia sepatutnya diletakkan sebagai pilihan dari awal sebab orang yang hobinya menonton perlawanan bola sepak dan akan jadi depressi kalau seminggu takde tayangan bola pasti sedia tahu yang Crotia dibarisi pemain-pemain dari kelab elit dunia seperti Liverpool, Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, Monaco, Ac Milan dan Liverpool. Kalau tengok first 11 pun kita dah tahu Crotia ni bukan calang-calang. Layak ke Final merupakan takdir yang paling layak untuk penyokong Crotia yang boleh dibilang jari.

Akhir sekali, ulas sikit pasal Perancis, pasukan yang aku dah ikrar dari awal untuk menjuarai piala dunia 2018. Perancis ni sebenarnya tak kuat mana pun, kalau dikira main sedap..sedap lagi Brazil, nak dibandingkan pengalaman dan kematangan, elok lagi Belgium. Meskipun skuad termahal, Perancis ni terdiri dari barisan pemuda yang berbakat dan berpotensi besar yang tak semua orang kenal pun . Aku percaya dorang boleh pergi jauh sebab belum ada masalah complacent dan kecelaruan star player, masih mengekalkan eleman 'raw' dan berpasukan. Macam kita pun suka tengok rancangan realiti tv yang menyanyi-nyanyi tu, seronok tu sebab kita tengok ketidaksempurnaan dan proses peningkatan kemudian ada elemen surprise dari budak-budak Perancis yang kurang dikenali (selain Griezman / Pogba/ Mbappe).

Kesimpulannya, Perancis Juara.




Cerita Pendek : Cinta Swasta (Episod 0 )

Mastura sekarang menuju ke simpang empat, jalan ada dua lane dan lampu isyarat bertukar merah, Mastura pun perlahankan kereta untuk berhenti. Mastura jadi gelisah sebab tak pasti nak berhenti kat lane kiri ke lane kanan, kalau Mastura berhenti kat lane kiri nanti orang belakang ingat dia nak ke kiri, kalau berhenti kat lane kanan nanti orang belakang fikir dia nak ke kanan, padahal dia nak terus.

Mastura sebenarnya gelisah tak tentu pasal. Kau duduk je la mana-mana pun bukannya salah. Kau berhenti relak-relak dengar lagu kat radio dahlah settle. Kau kisahkan fikiran-fikiran orang memang hilanglah fokus nak maju terus. Orang lain nak ke kiri kanan biarlah, haluan berbeza tak kau pun tak menghalang ye tak. 

Lampu hijau, Mastura pun tekan minyak terus ke arah rumahnya. Dia punya laju astagfirullah al azim. Sampai di rumah terus digapai remote televisyen, apa lagi yang mahu dikejarkan kalau bukan drama pukul 7 yang menjadi kesukaannya sejak 15 episod yang lalu.  Hari ini adalah episod terakhir, Mastura menjangkakan Arif akan berkahwin dengan anak Dato Harun setelah Datin Shima insaf dan akhirnya merestui hubungan mereka (itupun setelah Rozana mengaku telah menipu dan memperdaya mereka, Rozana adalah gadis yang cuba merampas Arif dari anak Dato Harun).

Marah betul Mastura pada watak Datin Shima, dari awal episod 1 sampai episod 14 memang mengundang rasa cibai dalam diri Mastura. Ini sedikit sebanyak membuat tidur malam Mastura jadi tak tentu hala, pergi ofis pun sempat mengutuk watak fiksyen Datin Shima ketika dalam lif bersama rakan sepejabat, tak habis di lif biasanya akan bersambung di pantri. Memang perempuan kalau dah benci seseorang, dia akan selalu memikirkan orang yang dibenci di mana-mana sahaja, sebabnya dia membiarkan orang yang dibenci mengawal trafik fikirannya. Jammed kepala otak.

Bersiap siaga dan bersila Mastura menonton drama berjudul "Kasih Tak Terucap". Menonton drama melayu adalah tabiat kita yang antara sedar dengan tidak, mungkin menjadi gian kerana dapat melihat isu-isu kehidupan orang lain, menghayati spektrum emosi perubahan emosi orang lain, memarahkan silap dan salah orang lain, demi melepaskan otak kita dari memikirkan isu-isu berat kita sendiri. Malas nak memikirkan hutang piutang atau kerja tak pernah selesai di pejabat, maka terdorong lah melihat drama air mata orang lain di TV. "Real people pretending to be a fake people with made-up problems being watched by real people to forget their real problems."

Setelah episod akhir tamat, Mastura berasa terharu akhirnya hero dan heroin dapat bersatu seperti yang dijangka. Namun, tepat jam 8 ketika buletin utama mula bersiaran memapar tentang realiti/persepsi kehidupan hutang negara dan kepayahan masyarakat membeli rumah, hati Mastura jadi terdetik. Bukan kerana loan rumah dia tak lulus tapi terkenang pada drama cintanya pula yang masih belum ada hala tuju. Ah..sudah, dia teringat malam ni dia ada temujanji.

Setelah setahun memutuskan hubungan cinta kasih sayang dengan rakan sepejabatnya, Mastura rasa tak menyangka yang dia selesa dan bahagia seorang tanpa kekasih. Meski bibirnya bukan jenis tak lekang dengan senyuman namun di hatinya ada ketenangan iman. Bahagia seorang ni maknanya dia oklah kalau pergi wayang tengok filem yang dia suka  seorang diri atau makan kat kedai yang dia suka pun seorang diri sambil tak membentak orang lain yang kalau ada kekasih serupa macam ada kembar siam.

Dalam frekuensi yang satu lagi, ketenangan itulah yang membuat Abu diam-diam suka pada Mastura. Abu menyewa di apartment yang sama dengan Mastura namun belum pernah sekali bersapa. 

Abu selalu nampak Mastura lepak kedai makan kat bawah apartment mereka sorang-sorang, kadang jatuh hairan dan kesian bagaimana gadis elok dan boleh tahan macam Mastura boleh dibiarkan makan seorang diri, kadang terusik jugak hati kecil Abu nak menawar diri untuk meneman, namun mengenangkan dirinya yang tak seberapa, impian tulus Abu hanya dibiarkan berlalu. Ah, Abu ni pun bukan main, mentanglah Mastura tu elok nak kesian lah bagai, sebelum ni ramai jugak gadis lain makan sorang dia takde pun nak jatuh hukum kesian. Aku makan sorang-sorang pun Abu tak amik pedulitaik pun. 

Meski kesian, tidak nampak sekelumit tanda mohon kasihan pada wajah Mastura. Yang ada hanyalah mutiara ketenangan, tenang di wajahnya membawa selautan tenang di hati Abu. Bagi Abu, makwe yang boleh steady duduk makan seorang ni menggambarkan jati diri yang kuat dan tidak dibuat-buat, tidak mudah fikirannya diadun orang lain dan yang paling penting bukan jenis mengikut trend demi pleasing orang sekeliling. Matahari terus bersinar meski bersendiri.

Abu pula, merupakan pemuda yang berpersonaliti biasa saja, kerja pun biasa saja, alhamdulilah berkat kerja rajin, loan untuk pakai MYVI berjaya lulus. Dari segi rupa paras memang biasa saja, nak kata gempal tu tidaklah, fit dan solid pun tidak, muka bolehlah seperti jejaka kebanyakkan, bolehlah, walaupun memang ada kurang sikit Abu ni dari segi muka, tapi kalau kau tekan-tekan aku lagi memang aku terpaksa jujur, pakej rupa memang takde budak Abu ni. Janganlah disuruh selfie, instagram pun better jangan main.

Nak dijadikan cerita, lepas Abu dah keluar Myvi baru minggu lepas, ada lah sikit modal nak buat motivasi diri menegur Mastura. Orang kata ada up sikitlah semangat tu setelah lama berjiranan. Dalam diri dia memang dia sedar yang cermin tak berapa ngam dengan spesifikasi muka dia, tapi sebagai lelaki berbintang Taurus yang tak punya apa-apa untuk dipersia dia kena jugak cuba menghulur salam perkenalan, apa yang nak jadi selepas itu tak menjadi isu, kurang-kurang dapat dijadikan pelajaran atau kenangan. Kalau Myvi boleh menaikkan semangat Abu untuk mencuba, siapalah kita untuk menidakkannya.

Maka, di level ground apartment, dah hampir sejam lelaki bernama Abu menunggu di sebalik pagar di tepian longkang sambil acah-acah menunggu seseorang (walaupun memang Abu menunggu seseorang dan peluang). Kebiasaannya dalam pukul 8 lepas drama memang time Mastura turun bawah ke gerai beli makanan, tapi hari itu tidak nampak bayangan pun. Lif dari tadi terbukak-tertutup-terbukak-tertutup namun tidak kunjungtiba Mastura yang dinanti. Aku pulak kesian tengok Abu.

Kalau nak diikutkan modus operandi Abu ni simple je, bila Mastura keluar je dari lif dan menuju ke gerai Tom Yam yang terletak 15 langkah seorang manusia dewasa dari apartment, Abu rancang nak buat-buat ambil barang dari kereta Myvi yang diparkir betul-betul di sebelah gerai Tom Yam, tujuannya nak bagi nampak yang Abu bukan lelaki Taurus yang tiada apa-apa untuk dimodalkan, Kalau Myvi boleh menaikkan imej kendiri Abu, siapalah kita untuk menidakkannya.

Dan dia akan duduk di meja sebelah Mastura (kononnya secara random) dan pesan makanan dan ketika bayar nanti dia akan bayarkan untuk Mastura sekali dengan alasan ada rezeki lebih sebab overtime, apa salahnya nak belanja. Senang je kan nak lakukan random kindness? Sedekah tu kan amalan yang dituntut agama.  Kemudian kalau ada respon elok, segaris senyuman misalnya, Abu akan cuba berbual dengan bersahaja dan akhir sekali memberi kad nama beliau yang  disitu terletaknya nombor telefon beliau untuk dihubungi. Mungkin bab sedekah tu Abu taknak sebut takut tertunggang agama kerana seorang makwe.

Pada logik Abu, bila Abu dah belanja Mastura, dengan ada nombor telefon di kad nama  yang diberi secara bersahaja, kurang-kurang malam sikit dapatlah whatsapp thank you dari Mastura sebagai tanda appreciation, dari situ barulah Abu fikir nak ke mana. Aku nasihatkan Abu untuk mencatur gerak perlahan-laham, nak cepat-cepat pun nak pergi mana, bak kata para nasionalis hari ni kahwin takkan esok dah nak nampak kepala budak.

Tapi waktu menunggu Abu ni sebenarnya dah mengguris hati beliau, lama sangat pun boleh menjejaskan semangat beliau yang baru nak berakar.

Tiba-tiba seseorang menegur beliau dari belakang.

"Awak punya Myvi ke yang parking sebelah kedai tu?" tanya perempuan tersebut dengan nada seperti menahan geram.

" Eh..saya punya, baru keluar minggu lepas..eh maksud saya, Myvi tu saya punya, saya parking kat situ" jawab Abu.

" Ish..Awak tahu tak awak dah block kereta saya berapa lama, dari pukul berapa saya tunggu, banyak lagi tempat lain boleh parking kenapa situ jugak awak nak parking?!" 

"Eh alamak.sorry, saya memang perlukan sangat parking kat situ , alamak, sorry cik..saya tak perasan"

"Lain kali, tinggalkan lah nombor telefon, senang orang nak call kalau apa-apa, aduhh...", perempuan yang marah-marah itu berpaling dan bergegas ke arah keretanya. "Cepatlah alihkann!" jerit beliau tanpa mahu membuang banyak masa lagi bercakap dengan Abu.

Abu mengekor dari belakang.

"Eh cik, maafkan saya tak tinggalkan nombor telefon, tadi saya memang nak tinggalkan dah tapi terlupa". Abu menampakkan wajah kesal.

Perempuan tersebut menutup pintu keretanya, dari tingkap yang dibuka dan suara yang sedikit lembut dari sebelumnya dia mendesak "Alihkan cepat".

"Ok.ok. Ni ada nombor telefon saya in case kalau..." Abu sempat menghulur kad nama beliau.

Tak sempat Abu mematikan ayat, Mastura membulatkan biji matanya dan separuh menjerit "Alihkan cepatt kereta!". Kad nama Abu disambut dan dicampak ke tempat duduk sebelah. Abu lari-lari anak kekagetan.

Dialihkan Myvinya ke tempat parking yang kosong sambil melihat Mastura memecut meninggalkannya. Perjalanan hidup memang seringkali berlaku tidak seperti dirancang, namun perkara yang tidak dirancang tidak pernah berlaku tanpa sebab. Mungkin Abu tidak hensem bersebab, meski pun jika diberi pilihan..aku yakin manusia akan tetap pilih untuk menjadi hensem tanpa sebab berbanding tak hensem dengan 1000 sebab sekalipun. Dengan 1001 alasan pun sukar untuk dinisbahkan kebarangkalian Mastura akan menghubungi Abu, melainkan Abu block kereta Mastura sekali lagi? 


-----
Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Abu tenang memikirkan Mastura tadi yang kemain lawa berjersi biru Perancis. Tiba-tiba datang bisikan halus untuk Abu menyokong Perancis. Terbayang di fikirannya kehebatan raja bola Zinedine Zidane membuat sepakan volley menerjah jaring. Tiba-tiba pasukan Perancis kelihatan sungguh mengujakan dengan Griezman di bahagian tengah bergandingan dengan Mbappe di bahagian  kanan melakukan serangan bertubi-tubi ke arah gawang tanpa henti, sambil Ngolo Kante berlari kencang merampas bola lalu mengelecek berpusing-pusing di antara tiga pertahanan lawan. Di bahagian tempat penonton kelihatan Mastura bersorak "Alihkan keretaa...ale-ale kan kereta..ale-ale..." Cukup mengujakan. Tiba-tiba , satu notifikasi dari nombor yang tidak dikenali muncul di paparan telefon bimbit. Berdesup darah Abu naik ke kepala, lamunannya mati mengejut.

Assalamulaikum cik 
RM 0.00 CONGRATULATION !
Your simcard mobile
phone anda telah berjaya menangi hadiah Cabutan bertuah menyambut hari ulang tahun HOTLINK MAXIS  CENTRE YG ke 37..
RM.15,000,00..(15k)
Selaku pemenang ke 1
No siri cek (993701)
Untuk hindari penipuan sila layari webs kami
https://winnerhotlinkmegawin2018.blogspot.com
whatsapp penganjur untuk tebus hadiah
☎+60142813273


"Pundek" balas Abu ringkas dan padat.





Setiap kita takkan terlepas dari bermain dengan persepsi, atau dipermain persepsi. Setiap ketika persepsi sedang berada disekeliling kita, sama ada ianya berada dalam kawalan kesedaran kita, atau ianya sedang mengawal kepekaan kita. Ketika aku menulis setiap abjad-abjad ini, persepsi juga sedang terbina secara tak langsung / dibina dengan niat.

Katakan aku menceritakan tentang sebuah kedai makan dan mahu meletakkan persepsi "mahal" pada harga makanannya, aku boleh ceritakan pada kawan-kawan yang aku makan tengahari seorang harganya dekat 20 ringgit! Secara pantas, kawan-kawan akan melantun "mak datok, mahal nak mampus, patut pergi bangkrap je kedai macam tu". Itulah reaksi kebiasaan, sedangkan mereka tak ada inisiatif pun nak ambil tahu yang sebenarnya aku makan ikan siakap.

Persepsi ni adalah permainan yang selamat, ianya sukar dibuktikan salah kerana ianya tidak salah, yang salah adalah sudut melihat. 

Di musim perayaan, orang nak membeli baju raya, baju yang berharga RM150 adalah dikira murah sekiranya diletak notis harga asal adalah RM220. Persepsi sebegini boleh diubah dan diadun, sama seperti ketika kita up foto diinstagram. Kita akan cuba tukar warna sikit, crop sikit, untuk menampakkan persepsi yang kita kehendaki pada umum. Tulisan-tulisan/ perkongsian kita di media sosial jugak sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi , kita boleh jadi orang malu-malu atau orang bijak-bijak mengikut piawaian kita sendiri, bagi yang hanya mengenali kita melalui ruang itu mereka tidak dapat tidak untuk melihat kita dengan apa yang kita tunjuk.

Persepsi yang separuh masak terjadi bila orang memberi reaksi atau pemahaman pada maklumat separuh-separuh dan malas melihat luas. Jika seseorang itu dilihat setiap hari pergi ke hospital, tidak semestinya dia seorang doktor atau jururawat. Aku pernah beritahu pada seorang kawan aku yang dulu aku setiap hari kena pergi hospital bahagian kecemasan, aku tidak menipu tapi aku meletakkan pada konteks yang dikawal, kawan itu nampaknya menjadi prihatin dan bertanyakan tentang keadaan aku, sedangkan aku ke hospital setiap hari adalah untuk berniaga.

Katakan jika kita adalah penyokong pasukan Barcelona ketika berlawan Juventus, persepsi kita tentunya telah jadi kabur dan bias. Kalau pemain Juventus kasar sikit je kita selaku penyokong Barcelona akan menuduh macam-macam, sedangkan perkara itu tidak berlaku pun secara teknikalnya tapi disebabkan persepsi telah dijana maka penglihatan kita telah dikawal tanpa sedar. Tapi semalam Neymar memang main secara poyo, masuk suku akhir nanti kalau tantrum berguling-guling jugak dah eloklah pakaikan dia walker baby dan sumbat puting.

Dalam bergaul dengan persepsi yang melata ni, kita mungkin betul kita mungkin salah. Ianya bergantung pada pelbagai faktor luaran seperti maklumat-maklumat yang kita termasuklah ilmu dan pengalaman, kemudian bergantung juga pada sense-sense kita yang menaakul segalanya, receptor kita pun bukan sempurna untuk hadam setiap satu. Cuma, kita buatlah pertimbangan setaranya, dacing jangan rosak buah tak berselerak, jarum boleh berubah-ubah ikut bebanan semasa.

Akhir kata, jangan terkurung dalam persepsi, jika dilemaskan cubalah cari udara walau sedikit. Moga diperhambanya duniya, sukar tapi aku/kita cuba.

An ancient proverb says " do not curse the prickly bush that delivers pain unto you but open up your ignorant mind and realise that the prickly bush is simply doing what it was designed to do "
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Selamat Hari Raya.

Maaf andai aku tercakap sesuatu yang tidak sealiran dengan panel circuit dalam fikiran aku, umpamanya berlaku litar pintas apa yang aku cakap kadang bukan apa yang aku maksudkan.  Lepas dari tu aku pun menyesal kenapa aku cakap macam tu kenapa aku jawab macam ni, its just not my forte. Perbendaharaan kata aku adakalanya kurang tepat dalam menyampaikan makna sebenar, mungkin kodeks ku yang kompleks, adakalanya juga susunan nada aku terabur , namun dekat di lubuk hati ini tersimpannya niat yang luhur dari seorang yang lurus (inesen jadi-jadian)

Selain itu, maaf juga untuk kekhilafan rutin seperti typo , buat lawak yang tak kelakar, tak cukup idealistik untuk berbual semua hal termasuk hal tepi kain orang, memilih untuk tidak peduli,kadang-kadang tak sengaja lebih hensem daripada korang, sibuk dengan entah apa-apa, post gambar tak berbaju, terpakai berus gigi, liverpool kalahkan team korang, annoy you with my fb updates, terpaksa menolak cinta awak, kadang-kadang tak sengaja lebih hensem daripada korang (terasa sangat berdosa, serius), maaf juga andai ucapan maaf ini tidak mencapai kesempurnaan maaf hari raya secara lazimnya.

Maaf Zahir Batin.




My Ex , ni merupakan Samsung touch skrin yang pertama dalam sejarah,  disaat semua orang masih pakai hp lipat aku dah bersama ex aku ni , sekarang bila semua orang guna skrin slide aku pulak guna hp lipat. Setelah hp ni padam selamanya, maka tersemat abadi jugalah didalamnya foto-foto aku semasa muda bertenaga dan merbahaya, sekarang muda, cuma tak merbahaya. Kenangan terindah, bila tertinggalkan beliau dalam teksi namun dipulangkan semula dengan keluhuran hati.



My Ex bernama Asus Zenfone - aku beli sebab bila aku lepak dengan kawan selalu keluar cerita yang aku tak tahu, bila aku tanya semua jawab "kan ada inform kat whatsapp", serta terlepas aktiviti yang menyeronokkan dan bila aku tanya jawapannya "kan dah ajak kat whatsapp", paling tak boleh telan bila ada yang masuk hospital sampai dah keluar hospital pun aku tak tahu, bila aku tanya apsal tak bagitahu...jawapan mula jadi cliche "kan dah whatsapp". basically aku beli untuk guna whatsapp supaya tidak disisihkan oleh masyarakat moden.


Lama jugak aku bersama telefon ni, kiranya ni last henfon yang aku pakai sebelum aku pakai yang sekarang ni. Begitu banyak kenangan bersamanya, pernah mandi sungai sama-sama kat belakang zoo negara. Atau sebenarnya aku yang mandi sungai, beliau lemas dalam poket seluar, lepas dah hampir sejam menikmati kesegaran air sungai baru perasan, tapi jangan risau setakat air sungai apalah sangat, beliau hidup balik seperti sediakala. Jatuh kali ke 100 pun beliau masih steady, skrin pecah pun masih mampu meneruskan liku hidup. Sehinggalah setelah cemerlang berkhidmat, beliau didiagnos dengan sakit-sakit dalaman. Maka aku terpaksa pencenkan beliau.


Sebenarnya banyak lagi ex aku, cuma yang 3 seperti dinyatakan di atas sahaja yang paling latest dan ada bukti bergambar. Antara ex-ex lain adalah seperti ericson yang bapak aku bagi lepas dia beli henfon baru, nokia butterfly, henfon nokia sabun dan juga ex kegemaran aku razr (nama penuh aku tak ingat). Ada lagi satu henfon Nokia tu kawan aku jual dengan harga RM5 masa zaman study, aku jadikan sebagai henfon kedua , memandangkan dia henfon kedua maka aku pun malaslah nak bawak ke sana-sini, aku pun sorokkan lah dalam bilik asrama pastu bila nak cari balik aku dah lupa letak tang mana. Kalau ada sesiapa jumpa tolong pulangkan la.
Terima kasih kepada rakan handai yang menemani sahur sambil menyaksikan perlawanan akhir buat 2 pasukan terbaik Eropah yakni Liverpool dan Real Madrid.
Sebuah pertembungan klasik dengan pelbagai rencah aksi dan asam garam, ada yang terkehel bahu, ada yang berlakon biru, ada gol offside, ada terkena tiang, pastu ada juga penceroboh tak diundang, ada gol gulung, serta ada juga kesilapan terulung, di mana akhirnya semua akur dengan resmi padang - kejuaraan buat satu pasukan dan yang satu lagi bersahur ketabahan. On positive note, kekalahan harus dibayar dengan semangat iltizam tak terpadam, kesetiaan tak tergadai.
Seraya itu, demi redemptional pada nasib bahu Mo Salah, aku meletakkan Perancis sebagai barisan harapan aku di Piala Dunia 2018 dan sekaligus mengisytiharkan perang kepada pasukan Sepanyol dan Ramos. Hihi.




Bangun dari tidur tapi tidak bangkit dari lena.
Wajah masih basah dengan masalah.
Merenung akur, dihimpit mantra kurang perisa,
mengasah niat dan nilaitambah untuk menunjuk arah,
masih mengimpikan pagi yang bersemangat,
seperti segarnya cahaya sabtu dan ahad,
merintih ke mata sendiri menyapa jangan fuck up,
gelap memberat seperti awan dan kepul asap,
hanya sekejap, bila hujan turun angin kuat ,semua lesap.
mencari equilibirium untuk hidup yang delirium,
syukur masih sempat makan minum,
sini dunia bukan sempurna takkan maksum,
bukan mahu dapat apa yang mahu dapat,
cuma nak buat apa yang aku suka buat,
kata orang separuh hari hidup di pejabat,
usah kelat nanti lenyap separuh abad,
berbahagi hidup dengan lumur dan peluh semangat, semata,
merentas hutan kenangan kelak tinggal tulang, sahaja,
tak larat lekat pada satu susun atur copy paste ,
kadang rawak kadang condong kadang berbaris,
manipulasi dan konfrontasi selagi tak habis,
sebelum melawan dunia seperti Mahatma,
kita bersila berhubung dengan pemberontakan dalam jiwa.
peluru dan mortar usah buang merata, 
bahaya tak diduga bukan sekarang mungkin sampai lusa,
angkat berat badan penat, biar sakit mengubat sakit,
baca buku tulis ayat, rehat dari bisik bidik tiada titik,
tengok bola sorak gegak menang girang di mamak,
campak keluar dari cengkerang, tempurung ini terlalu sesak dan terkurung, rela merangkak dari berdiri memijak tak berhaluan,
ikrar merdeka bila ego gugur merenjat dendam memeterai maaf,
yang dikatakan hamba sebenarnya perdana.


Quote of the day:

“Kita memang perlu Tun Mahathir untuk bimbing kita - sebab kat Istana, pintu masuk mana pon kami tak tau....”

 - Mat Sabu


Nak dekat pilihanraya ni, aku dengar-dengar parti sana-sini dok campak duit kat masyarakat. Dah macam bagi merpati makan.

Ada yang campak bawah.
Ada yang lambung atas
Tepi.
Kiri.
Kanan.
Belakang.
Leret.
Bergolek.
dan sebagainya.

Meriah, cukup meriah.
Tapi yang aku konfius tak boleh blah, apesal dalam banyak-banyak tu, yang bergolek yang meleret, satu pun tak kena kat aku. Kenapa dan bagaimana boleh tak kena.


**
Manifesto : A manifesto is a published verbal declaration of the intentions, motives, or views of the issuer, be it an individual, group, political party or government. 

Moneyfesto : Pesta Wang, non-verbal declaration of the intentions, motives, or views of the issueer, be it an individual, group, political party or government.




**


Aku tak tahu sebab musabab why setiap kali aku akan menjawab dengan kukuh "Tak ada" bila ada rakan sekerja mengacu soal "Kau ada blog?".


Perbualan serupa ini terjadi lagi minggu lepas, ketika aku berbasa-basi dengan seorang rakan pejabat di department sebelah. 


"Apsal, apsal tanya camtu, aku ada blog ke tak" soal aku balik dengan rasa agak hairan berbaur bimbang bila secara rambang ditanya tentang blog.


"Sebab aku tengok kau macam orang ada blog"


Aku garu-garu kepala yang memang gatal dek kelemumur. Aku tak tahulah reason aku jawab takda, sama ada paranoid taknak ummat pejabat tahu nota-nota aku atau taknak too naive to believe everyone can be kawan.


Tak lama kemudian, ketika basa-basi menjurus ke arah bola sepak. 


"Kau pun ada main fantasy football ? ( competition in which participants select imaginary teams from among the players in a league and score points according to the actual performance of their players), dia tanya aku.


"Ada" jawab aku.


"Aku dah agak dah, aku dah agak, mesti kau pandai kan pilih-pilih pemain kan, kau nombor berapa sekarang?"


Kebetulan kedudukan aku memang teratas di liga.


"Aku dah agak dah, aku tengok kau aku boleh tahu..haha, sebab tu aku tanya kau ada blog tadi" kata dia sambil melihat muka aku.

Nampaknya muka seposen aku dah tak laku sejak akhir-akhir ni, orang dah boleh baca respon dan realiti, aku kena lari tipikaliti. Untuk pengetahuan semua, aku memang ralat dengan tipikal or something yang too predictable, serupa macam dengar lagu berulang di radio rasa nak tukar siaran.

Sebagai contoh, di setiap tiap tempat makan kan kita akan ada makanan kegemaran atau makanan wajib order, so aku akan order benda yang sama, paling tidak pun 8 daripada 10 kali akan order benda sama. Namun, benda yang aku rasa tak boleh blah, apabila ketika nak pesan makanan, tukang amik pesanan tu sendiri dengan muka bangga terus tanpa segaris ragu nyatakan aku nak order apa, eh..dia pulak yang bagitahu aku sebelum aku bagitahu dia, moment tu aku akan rasa tak boleh blah dan terus aku tukar order yang terniat. Sanggup aku nak order benda lain tahu tak, sanggup.
Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home