BISIK PADA LANGIT
1. Perjalanan filem BISIK PADA LANGIT ini cukup ringkas, tiada selekoh yang bukan-bukan, ianya seakan jalan terus , berhenti pada lampu isyarat dan kemudian jalan terus lagi, kadang seakan dokumentari tentang hari-hari terakhir seorang manusia dari perspektif orang yang bakal ditinggalkan. Kita semua jalan terus, tak kira apa yang berlaku di setiap inci perjalanan, kita tetap menuju ke arah yang sama seperti ditulis atas skrip. Yang menjadikan filem BISIK PADA LANGIT ini sebuah naskhah yang wajar dihayati adalah atas dasar kita yakni setiap manusia punya signifikasi hidup yang tersendiri, mempunyai parut luka dan kisah gembira untuk diraikan, seperti filem Khabir Bhatia yang lain, mencantumkan perasaan-perasaan yang tepat pada jalan cerita yang mudah, kali ini berpaksikan pada kasih sayang seorang ayah.
2. Apa aku nak tulis ni mungkin spoiler, jadi boleh skip point nombor 2 kalau tak nak terbaca spoiler secara tak sengaja. Apapun, bagi aku ni tak spoiler sangat pun, semua orang kan dah tahu mati tu kan pasti. Sekian lama, aku selalu menyampah dengan drama-drama melayu yang meminta-minta orang untuk untuk menangis, dengan cara yang mudah dan berulang, iaitu melalui kematian. Terutamanya drama hari raya, segala kejahatan dan kemungkaran dari babak saat pertama sampai 5 minit terakhir, tiba-tiba dengan satu kematian segala dosa dipadam, semua insaf dan menangis kemudian cerita tamat. Hai mudahnya nak justify skrip. Nasib baik filem BISIK PADA LANGIT ni lain, tidak menjadikan mati sebagai penyelesaian, dari awal dia dah khabarkan petanda secara tersirat akan ada satu kematian, kemudian penonton diajak untuk reflek dengan kehidupan watak sebelum ini. Bila kematian berlaku, cerita belum habis, salah besar kalau dengan mematikan watak dikira cerita tamat. Umpama kau dah berjaya beli kereta kemudian kau ingat nak pakai sampai tahun 2030 begitu saja, padahal kau kena lah isi minyak dia tiap minggu, bayar tol tiap hari, cuci kereta bila dah astagfirullah al azim dan juga hantar servis dan sebagainya. Selepas kematian, filem ini sekali lagi meletakkan perasaan-perasaan tepat pada babak-babak dengan jitu. Sebenarnya, sedih bukan satu sahaja perasaan yang wujud bila menghadapi kematian orang yang tersayang.
Tatikh tayangan ni salah, jangan percaya |
3. Rasanya tak perlu aku nak letak nama-nama watak kat sini, setiap watak tu aku rasa cukup diwakili sebagai anak, ayah, emak, adik beradik, saudara-mara dan kawan. Kita boleh kaitkan diri kita dalam cerita ini tanpa merasa asing dengan nama-nama watak fiksyen. Lakonan Jalil Hamid superb berkesan, diikuti dengan Beto Kusyairy juga amat jitu untuk menyempurnakan cerita. Kedua-duanya nampak hidup dalam filem ini, bila aku dah keluar panggung pun terasa mereka masih hidup dalam filem itu tak keluar-keluar. Adik lelaki Beto dalam filem ni pun berjaya menghidupkan wataknya yang nampak seiring dengan realiti hidup seorang adik yang mempunyai seorang kakak yang dilebihkan sedikit.
4. Aku suka pada mesej yang diucapkan oleh si ayah ketika dia reflek dan throwback kehidupan dia dan anak perempuannya. Kalau tak silap, di menyebut soal anugerah, amanah dan pinjaman. Amanah yang diberikan kepada dia, meski berat namun secara tak langsung mengajar dan memberi banyak kebaikkan kepada dia, jika dapat dimengerti maka ianya terasa ringan dan dihadam sebagai anugerah. Contohnya kau dapat kawan serupa lahanat perangainya, tapi kau kawan jugak dengan dia, kawan lahanat ni tak kira berapa lama kawan dengan dia, tapi takkanlah nak dikira sebagai anugerah ye tak? Iyer, tapi kawan lahanat sebenarnya boleh mengajar kita jadi penyabar, pemaaf dan juga boleh jadikan kita lebih kuat untuk berseteru dengan kelahatan dia.
5. Secara keseluruhannya, frame atau visual dalam filem BISIK PADA LANGIT ni sedap dan sayu mata memandang, disesuaikan pulak dengan bunyi/skor muzik yang menepati, maka penonton filem ini tak rasa segan untuk merasa kesedihan (tapi bukan simpati). Simptom-simptom dia seperti tekak terasa kering, mata berkaca dan tangan letak kat tepi muka sebab taknak orang nampak. Kehibaan yang aku rasai pun tidaklah segenap jiwa raga, namun cukuplah kut untuk membuktikan aku ni sensitif orangnya (haha). Akhir kata, kematian bukan kesedihan semata-mata, walau filem ini dari awal seakan-akan mengusung sebuah kematian tragis si anak, sebenarnya di hujung sana anda akan nampak seakan-akan membawa sebuah hadiah yang sungguh indah dan berseri-seri. Twist lembut lah yang aku perasan. Pergilah tengok.