Bukan Milik Kita

Tatkala membaca , meneliti dan memahami tulisan yang pernah aku coret dan conteng, di pelbagai medium dan platform (blog dan mukabuku) , membuat dan membuai aku menyoroti jejak-jejak fikiran pada masa ianya dibidik jari-jemari. 

Apabila dibaca kembali, oleh aku sendiri, terasa seakan asing dan ada antaranya tidak berpadanan dengan kapasiti atau acuan fikiran aku sekarang. Dipendekkan kata, ianya menjelmakan satu persoalan di benak "Macam mana aku boleh tulis benda-benda ni?".  Agak sukar untuk aku kini, melihat keakuan aku di sebalik siratan tulisan-tulisan tersebut.

Fikiran adalah sesuatu yang sangat misteri. Sejak bila mula dilahirkan,  bagaimana dilahirkan, dizahir & batinkan, bentuk fizik dan respon kimia juga masih terus menerus menjadi kajian para saintis. Pada ketika ini, trafik fikiran yang lalu lalang di minda kita pun kita tak pasti datang dari mana, tahu-tahu saja dia sudah berterbangan, bergolekkan, meluru atau menyelinap, apa yang kita boleh buat? Tiada apa, dia tiba tanpa notis dan arahan.

Selalu kita risau "apa pulak kata orang" atau "apa pulak nanti dia fikirkan". Ianya amat sukar untuk kita mengelola fikiran orang, fikiran bukannya seperti air yang boleh dikelola mengikut acuan pembentung. Namun, masih lagi boleh dikira dan dicongak , ada teknik dan kaedah yang telah diajar dan dipraktikan supaya fikiran tidak cacamarba. Salah satunya menerusi penulisan, ianya merupakan satu siratan / proses di mana kita boleh mengestrak-meneliti-memperhalusi-menimbang-membantah-mengenalpasti--mempertingkat-menyusun-mempersembah fikiran-fikiran yang berbolak-balik menjadi satu kesatuan. 

Fikiran juga, pada saat ini aku pasti anda sudah ketahui, bahawa fikiran adalah bahaya, pada diri sendiri atau selainnya. Fikiran tanpa jagaan, akan mudah dimanipulasi atau termanipulasi dan berubah menjadi sesuatu yang menyakiti. Dengan sebiji buah fikiran, apa pun boleh jadi. Ianya boleh beranak-pinak dan menjadi sesuatu yang besar dan merajai, amat berbahaya jika ianya bukan suntikan roh yang molek. 

Pernah anda terbaca tentang kes-kes mengenai manusia yang melakukan sesuatu yang kejam dan nauzubillah, setelah terdengar bisikan-bisikan asing di telinga? Ya. Adakah bisikan halus /ghaib itu datangnya dari entiti terkecuali, atau, saya mahu persoalankan, ianya tercipta sendiri dari fikiran-fikiran kita yang menjadi asing dan meneroka egonya sendiri, meneruskan hidup dengan parti dan organisasi baru lalu melalukan penentangan dan menderhaka kepada zatnya?



Fikiran kita bukan milik kita. Kita bukan fikiran-fikiran kita.
Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

1 comments:

Hans Hanis said...

itulah
kena ambil positif juga
memang tak boleh ambil semua pandangan orang tetapi sikit2 sekadar untuk perbaiki diri pun bagus juga
:)