Nonsensikal Sepasang Kasut


Aku punya falsafah terhadap kasut, sama juga dengan telefon bimbit, ganyang sampai luluh baru beli yang baharu. Takpun, bila hilang dikebas orang, baru cari yang baharu.

Dijadikan kisah, kasut milik aku memang dah jatuh hukum wajib ditukar. Simptom-simptom kasut dah kena tukar ni yang pertama bila aku tengok dengan mata kepala aku sendiri pun dah rasa mendayu-dayu. Simptom paling tenat, bila 2-3 kali budak pejabat tanya bila aku nak beli kasut baru. Tak tahulah ianya pertanyaan atau hinaan halus.

Jenuh jugak nak menjawab soal kasut ni.  Kaki aku dahlah tak pandai bercakap, so dia kalau nak harapkan aku menjawab, aku cakap kurang bajet je la, sekarang harga kasut dah naik. Kalau nak acah-acah deep, aku pesanlah "jangan menilai orang melalui kasut" sambil suara control serak-serak basah untuk kesan yang lebih menyentuh.

Kaki aku pun sebenarnya tak banyak songeh, bukan saja songeh tak banyak, habit dia pun lebih kepada 'aksesori' je, fungsi dan matlamat kewujudan sudah tidak begitu signifikan, namun tetap jugak perlu dikasutkan.  Pakai tetap pakai. Macam tali leher lah, entah apa fungsi tali leher ntah, melainkan sebagai aksesori, menunjukkan status. Bos aku kata, pakai tali leher ni boleh menjana keyakinan, kalau tidak dari dalam diri sendiri, boleh jadi dari luar orang yang melihat kita.

Itu je lah. Takde pulak aku pakai tali leher boleh melancarkan pernafasan atau memudahkan proses pencernaan nasi lemak beli kat LRT Asia Jaya, takde pulak berlaku. Benda tu tergantung je kat leher, kadang rasa macam professional dalam sesuatu bidang, kadang rasa digembala, kadang nak pakai pergi kedai pun takut kena caj mahal.

Cuma, yang aku perasan, bila aku pakai seluar sama dan baju sama seperti selalunya, yang berbeza adalah aku pakai tali leher, tiba-tiba orang tegur apesal aku segak-segak. Ajaib sungguh, bagaimana secebis kain (yang dijahit menjadi bentuk tali) boleh merubah suatu bentuk pandangan? Dan kain tu pulak, bukan kain yang istemewa pun, bukan diperbuat dari kekapas bunga di kebun bunga pinggirin Everest ke, tali leher biasa je lepas diskaun dapatlah 30 ringgit. Biasa je bro, apesal boleh mengubah dan menjana keyakinan bagai?

Mengenangkan hal itu, hari tu lepas gaji check-in, terus aku beli kasut 2 pasang.




Tahun ni raya aku berlokasi di pantai timur. Entah macam mana,  aku lega sangat perjalanan ke sana, yang aku rasakan aku gerak pada waktu memuncak, tidak sesak. Berjalan lancar.

Masa nak balik ke KL pun nasib aku elok, trafik tak seperti dimomokkan. Segala cerita-cerita budak pantai timur yang tersekat lebih 10 jam terus aku simpan dalam folder 'nasib-nasib baik Fendi'.

Cumanya time nak balik tu lah, awal perjalanan aku berdua je dengan perempuan kegemaran aku, tapi bila masuk je highway LPT tu, rupa-rupanya kereta aku dah ada 'penumpang'. Kisah-kisah mistik berkenaan lebuhraya LPT ni, ternyata ada benarnya jugak, sebab aku sendiri sudah alami pengalaman ditumpang wanita ketika perjalanan pulang.

Nak dijadikan cerita, sebelum masuk lebuhraya tu, aku pergi menyinggah ke rumah kawan aku ni, lokasi rumah dia tu aku tak arif nak sembang kat mana, tapi waze bawak masuk jalan pintas memintas kebun jugaklah, tahu-tahu je dah sampai ke kampung dia. Selepas beraya, sempat makan nasi yang baik punya, tiba-tiba kita orang syorkan untuk dia tumpang kitaorang balik KL, tak payahlah nak naik bas. 

Maka, kisah-kisah mistik ditumpang wanita misteri aku masukkan jugak ke folder 'nasib-nasib baik Fendi'. 

Dalam perjalanan yang panjang tu, ruang untuk berbual kosong memang terbentang luas, seperti jalan lurus di hadapan aku yang tak nampak penghujungnya. Mode aku pun rilek-rilek je, takde spirit nak memecut. Lepas tu hujan turun pulak, suasana jadi sayu, jam dah pukul 12 tengah malam, aku pun isi lah masa kosong tu bertanyakan pada kawan aku yang duduk di belakang.

" Ada cerita yang seram-seram tak sepanjang lalu sini?"

Sangkaan aku betul, mesti ada punya kisah seram, kalau orang dah biasa ulang-alik perjalanan jauh lebih 5-6 jam, mesti ada kisah seram punya. Sama ada nak cerita atau taknak je.

Kawan aku cakap, kejadian berlaku sebelum LPT dibuka secara rasmi, masa tu dia nak balik ke pantai timur. Kemudian, dia kata "Tapi tak eloklah nak cerita sekarang, time-time camni, nantilah".

Aku dah kecewa mendengarkan dia berat nak bukak cerita. Aku lihat jalan pun gelap, tak banyak kereta, takpelah, aku pun bukan berani sangat, nanti agak-agak dah pagi sikit bolehlah dia cerita. Aku pendamkan dulu perasaan ingin tahu aku tu. Jadi kitaorang pun perlahan-lahan bukak cerita lain sampailah kitaorang tidur kat perhentian mana ntah. Nak drive time tu pun tak sedap sebab hujan makin lebat.

Bangun-bangun je dah pukul 5 pagi, hujan renyai-renyai. Kemain sedap kitaorang tidur. Terus kitaorang gerak, malas nak drag perjalanan lebih lama. Tepat pukul 6, aku ungkit hutang tadi. "Okey, bolehlah cerita yang tadi tu", gesa aku. Pukul 6 ni dah masuk subuh, sedang-sedang elok lah tu, buat apa nak peram cerita lama-lama, kalau cerita time matahari dah naik hilang pulak selera seram, jadi cerita geram pulak karang.

"Nantilah, nantilah, gelap lagi ni" jawab kawan aku yang duduk di belakang tu. Aku cakap gelaplah best cerita seram, tapi dia taknak cerita gak, dia suruh tunggu sekejap. Aku mengalah lah, mungkin seram nokharam lah cerita dia ni.

Aku pun tunggu lah sampai pukul 7, melintasi je pukul 7 aku tanya balik. " Ok cepat, dah pukul 7 haa..ceritaa..cerita".  

Dia pun mulakan ceritanya yang terjadi 2-3 tahun lalu. Aku mendengar dengan teliti dan debaran. Cerita punya cerita, dari pendahuluan, isi cerita, klimaks dan penutup, aku simpulkan, bapaklah tak seram cerita dia. Yang dia risau sangat nak cerita tu, aku expect adalah watak-watak yang menjelma, langsuir ke, pocong ke, budak-budak tepi jalan ke, kurang-kurang pun kucing hitam melintas jalan la, kemon, tapi takde weh. 

Penantian dari pukul 12 tengah malam tadi aku rasa jadi berat kat bahu aku, macam ada benda menumpang pulak kat bahu ni eh. Kalau takat cerita gitu, boleh je sembang kat aku pukul 12 tengah malam, 2-3 pagi pun takpe, aku khabar kat dia. Geram pulak aku dibuatnya. Penerbit filem seram sukalah orang macam kawan aku ni, jenis mudah jatuh seram.










Adik aku baca buku seram / hantu untuk belajar English, mungkin cara ni lebih merasuk dan menggigit lebih tajam ke minda separa sedar.

Patutlah SPM adik aku English dapat A. Ini lah rahsianya.




Lepas raya ni, ada satu bendaa yang aku kesian. Dah lah kena pijak, kena pulak maki, lepas tu dikatakan tiada integriti lalu tidak boleh dipercayai.





Nama dia, penimbang berat badan.



Aku paling tak suka kalau kena teka umur orang berapa. Tak kiralah orang tu sendiri yang suruh teka out of thin air, atau aku tanya kemudian dijawabnya 'cuba teka' atau 'rasa-rasanya berapa?"

Kalau perempuan yang suruh teka memang leceh sikit sebab kena pakai formula:

(Berapa yang aku teka ikut ikhlas hati) - 3 tahun = Jawapan yang  aku perlu bagi

Contoh, 30 - 3 = 27 tahun.
Umur seorang wanita


Ada unsur curi hati sikit.

Itu kalau perempuan lah, kalau lelaki aku terus jawab ikut ikhlas hati. Ini bukan bermaksud aku tak ikhlas dengan perempuan, secara lazimnya aku sentiasa ikhlas, tapi kau tahulah perempuan macam mana bila hal umur ni, aku taknaklah memburukkan lagi insecurity dalam diri mereka pada awal perkenalan.

Tapi masa pergi beraya hari tu rasanya aku dah terbuat dosa besar. Sedang elok minum air dan pekena biskit raya beraneka jenis, aku disuruh pulak teka umur sorang perempuan ni merangkap tuan rumah, aku cakaplah 32 tahun, katanya salah. Aku diskaun lah jadi 30 tahun, salah jugak. Rupa-rupanya umur dia baru masuk 22 tahun je. MasyaAllah, false alarm betul lah.

Terus aku cakap mungkin sebab malam mata aku tak berapa nak nampak, lagipun drive jauh-jauh ni mata jadi kurang bermaya. Dalam hati aku berdoa supaya tak kena santau lah di hari raya yang mulia ini.
Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home