Memandangkan sekarang tengah trending isu melempang, izinkan aku ulang-siar cerita nostalgia ni. Maafkan saya berperangai astro.
Masa tu aku masih di bangku sekolah rendah, seorang yang pemalu terutamanya bila berhadapan dengan perempuan, ciri-ciri unik ini aku bawa sampai ke besar masih malu. Tiba satu hari, tuhan anugerahkan kami seorang guru kajian tempatan yang baru. Dengan wajah yang diselaputi mekap tebal, guru wanita tersebut membawa watak garang yang suka merotan.
Kiranya, apa saja salah akan dibayar dengan rotan. Walaupun dia baru je masuk kelas kami, hari pertama lagi dah rasmikan rotan. Makin berdebar lah aku dibuatnya, sampai aku rasa beliau bukan guru tapi perotan. Tambahan pula aku jenis malas nak buat kerja sekolah, memang berdebar lah bila masuk matapelajaran kajian tempatan.
Bila guru kajian tempatan ni masuk kelas, macam jembalang masuk kelas, semua diam kaku, kalau kebiasaannya meriah macam macam pasar jalanan terus jadi sepi macam kawasan perkuburan. Nak sedut hingus pun tak berani, inikan nak bercakap, siap kena conteng kat kertas kalau nak berkomunikasi, itupun kena jaga-jaga takut jembalang menjeling.
Yang lagi cegampang, disebabkan rabun dan belum tempah spek mata, aku terpaksa duduk di barisan hadapan betul-betul di hadapan jembalang, eh silap, betul-betul di hadapan guru tersebut. Jadi, kau bayangkan lah aku punya keras macam mana, masa tu jati diri takde lagi,nak garu hidung pun aku rasa bersalah takut kena rotan.
Dalam keadaan sunyi tu tiba-tiba ada seketul pemadam melintas / melambung ke depan. Bagi yang tak ingat atau tak pernah ada pengalaman, masa sekolah dulu memang pemadam ni selalu dipotong kecik-kecik pastu dorang buat main baling kawan-kawan. Aku pun toleh lah belakang cari si polan yang baling tak kena target kat kawan dia. Kemudian datang lagi seketul pemadam melintasi aku dan hampir-hampir kena guru tu.
Guru tu bangun dari kerusi dia dan pungut pemadam tersebut. Dia pergi ke arah aku. Dia tanya aku kenapa baling pemadam ni, kan elok lagi katanya.
"Bukan saya..dari belakang" aku jawab.
"Siapa..?" dia tanya orang yang duduk belakang-belakang, tapi gila kau sapa nak mengaku.
Aku malas nak petik nama. Tapi aku cakap bukan aku yang baling. Aku pemadam buat main lawan pemadam je mana ada baling-baling.
"Saya nampak tadi kamu yang baling" dia cuba uji aku.
Aku cakap bukan aku.
Sesaat kemudian.
"Pang"
Korang tahu apa bunyi 'pang' tu? Aku kena lempang. Laju pulak tu. Tak sempat aku nak elak. Sampai saat tu aku dah tahu, cikgu ni dah gila. Dah terlambat lah tapinya kan.
"Saya dah suruh kamu mengaku, kamu taknak mengaku, lain kali kalau dah silap.. mengaku, saya nampak pemadam dari arah kamu" bebel dia lebih kurang, aku pun tak dengar dah sebab dah kebas pipi aku. Aku biar je panas tu hilang sendiri. Cikgu ni pun iye tak iye jugak, walaupun dari arah aku tak semestinya aku yang baling kan.
Dalam sebulan-dua kemudian, cikgu tu dah tak mengajar kami. Aku tak tahu kenapa. Dah full-time jadi jembalang barangkali.
Guru selalunya dianggap umpama lilin yang membakar diri bagi menerangi orang lain. Atau mungkin pelita. Kalau zaman moden, guru umpama lampu atau boleh juga dikatakan seperti bateri telefon. Begitulah digambarkan betapa pentingnya seorang guru di sisi masyarakat.
Tapi kisah guru yang aku ceritakan ni aku tak dapat nak berikan perumpamaan yang sesuai. Cuma walaupun ianya pengalaman yang buruk, tetap jua meninggalkan pelajaran yang hebat kepada aku, bahawa jangan terlalu cepat menghukum manusia. Cuba kawal sebelum jadi ketagihan.
Kalau di dinding nampak seperti bayang-bayang seekor harimau, mungkin sebenarnya bayang-bayang seekor kucing je. Walaubagaimanapun wajah tampan saya tidak terjejas meskipun terkena tamparan.