Lama betul aku tak pergi ofis.


Meskipun bekerja dari rumah pun steady, tapi tetap sedikit sebanyak ada jugak rindu pada suasana ofis. Moment ketika boss datang, member pun berbisik-bisik dan berkuis-kuis “bosss..bosss datang”. Moment ni mencemaskan tapi menarik untuk diperhalusi. Bila kawan dah bisik-bisik camtu, kita jadi serba salah membawa ke gelabah, yer tahu bos datang…so aku nak kena buat apa, bukannya aku tengah isap gam pun kat ofis. Paling-paling pun isap teh ais ikat tepi sangkut kat kerusi.


Tapi tu lah, lama-lama bila dengar je orang bisik “bos datang..bos datang”, automatik semua luruskan tulang belakang, tangan atas keyboard, mata menatap skrin..pastu buat-buat tak sedar bos dah ada kat sebelah..eh bos dah sampai..good morning bos. 


Member baru nak bawang pasal Avengers terus jadi cengkerik. Bukan sebab kita ada menjalankan aktiviti tak bermoral kat ofis pun tapi disebabkan respek bila bos datang tu kita pastikan lah kubu kita berada dalam keadaan mampan. Padahal bos takde apa pun, bos datang pun dengan terhangguk-hangguk layan lagu rap pakai earphone. Itu baru bos,kalau bos punya bos kita lagi debar tanpa ada sebab munasabah, padahal kita pekerja contoh kut modal insan harapan negara (tolong letak emoji ketawa) .


Cuma tu la, aku cenderung untuk cakap benda yang salah di waktu yang salah, atau lagi bahaya cakap benda betul di waktu yang salah. Jadi lebih baik aku diam kalau bos punya bos datang dan buat kerja aku, buat macam busy betul sampai takda masa nak berbasa-basi. Padahal bos punya bos tanya soalan simple je “dah makan ke belum”. Tapi tu lah, jawab ‘dah’ je la jangan panjang cerita. Yang takutnya soalan sekuel “So how is everything?”.

 

Kalau dia tanya how is everything time-time camni, time kita tengah hensem buat kerja, memang semua jawab “good” dan “fine” je la, sebab kalau betul-betul nak cerita everything..kurang-kurang kena silang kaki minum kopi dulu baru on. Menurut kajian aku sejak di universiti, kalau nak dapatkan cerita yang ‘true’ dan ‘pure’, kena lepak selepas jam 10 malam..takkan aku nak ajak bos aku punya bos lepak lepas jam 10 malam.


Tapi memang begitulah hipotesis aku masa belajar dulu. Soalan yang sama, kalau tanya pada pukul 10 pagi dan yang ditanya pada pukul 10 malam akan menghasilkan jawapan yang berbeza. Contohnya member tengah serabut siap-siap nak pergi kelas cari baju, cari buku tiba-tiba kau tanya “Kau berapa kali jatuh cinta?”. Memang taklah dia nak jawab telus. Tapi cuba lepas kul 10malam atau 11, kau tanya soalan ni..sampai ke pagi dia boleh cerita hal jatuh cinta dari zaman tadika sampai zaman Najib, silap-silap dia akan cerita yang makwe kau pun dia rasa macam jatuh cinta..jenuh nak bertumbuk jam 2-3 pagi mata dah ngantuk.


Tapi tu lah moment-moment kecil yang tak dapat dah sekarang. Bukan nak kata orang keja ofis, budak universiti malah budak sekolah pun belajar kat rumah je sekarang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah PDPR. Kitaorang dulu masa sekolah , kalau tak siap homework dengan muka  konfiden tak konfidennya cakap “alamak tertinggal kat rumah”. Sekarang takleh pakai dah mantera tertinggal di rumah ni pasal kau memang dah ada kat rumah.

Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home