Tiba-tiba ada budak gemuk tegur aku tanpa serba-salah. "Abang ni cina ke melayu"?
Aku perhati atas-bawah budak gemuk, aku sahkan yang budak gemuk yang tanya aku cina ke melayu ni memang melayu, aku cuba cari motif dia tanya aku cina ke melayu, aku sahkan balik air tin yang aku tengah pegang tu air Evervess bukan Guinness.

"Eh melayulah" aku jawab dengan nada pelik.

"Putih..ingatkan cina" jawab dia balik. Membuatkan aku masih keliru dengan motif budak gemuk tu. Dalam 100 orang yang kenal aku, memang tahu aku tak putih macam cina. Jadi sekarang apa motif budak gemuk tu?



Bila pandu kereta secara berseorangan, fikiran tak lepas dari melayang, pemanduan dah jadi macam gerakan-gerakan di luar sedar, segala refleks dah teratur secara semulajadi. Tambahan pula bila jalan yang dilalui sama saja setiap hari. Bagi nak elak rasa tepu bertambah tepu, pemandu ada masanya memberikan sedikit cabaran pada pemanduan, misalnya menambah kelajuan, yang mana meningkatkan sedikit adrenalin dan memaksa lebih penumpuan.

Bagi aku pula, aku cuba sampai ke destinasi dengan kiraan lagu. Contohnya aku mahu kawal pemanduan aku untuk sampai ke kampung aku dengan kiraan 10 lagu, tak lebih tak kurang,atau paling lewat pun lagu ke-8 aku kena ada di destinasi. Pada waktu yang kurang sesak, mungkin aku akan amik kiraan 8 lagu.

Untuk rekod peribadi setakat ni, aku dapat sampai awal daripada target. Hal ni bukan disebabkan pemanduan aku yang cekap, bukan juga disebabkan aku memiliki Lamborghini yang berkelajuan pelesit, tapi disebabkan stesen radio swasta sekarang memainkan 1 lagu, kemudian diikuti 10 iklan, 1 lagu, diikuti 10 iklan, 1 lagu lagi, kemudian 10 iklan, 1 lagu dan seterusnya. Ratio 1 kepada 10 ni agak keterlaluan sebenarnya, sampai satu masa aku sampai destinasi tak dapat dengar lagu pun, dapat dengar iklan saja dan deejay berborak.

Era.fm
Orang yang tinggi tak semestinya dia yang tinggi, kadang kasut dia yang tinggi sebenarnya.
Orang yang pandai tak semestinya dia yang pandai, kadang sijil dia yang pandai lebih.
Orang yang kaya tak semestinya dia yang kaya, kadang bank yang kaya sebab bagi pinjam duit.
Orang yang baik atau jahat pun jangan cepat sangat jatuh hukum pada pandangan pertama, motif dan agenda mungkin boleh merubah pendapat atau persepsi.

Perempuan yang bodoh pun ada masanya lakonan saja, kerana bodoh sikit tu nampak macam comel sikit berbanding perempuan yang tahu segalanya, juga tak mahu menekan ego lelaki.
Aku rasa tak patut kalau pergi shopping mall kena pakai perfume sendiri, sebab staff kedai perfume tak pernah pun larang pakai perfume tester dorang, kadang-kadang dia tolong semburkan lagi walaupun kita cakap takde duit nak beli, hasilnya kat situ dah boleh pakai perfume Calvin Klein, Dunhill, Christian Dior, Versace, Boss, Ralph Lauren dan mana-mana yang berkenan secara percuma dan acah-acah tak dirancang. Secara tak langsung memang tak patut kalau badan tak wangi kalau pergi shopping mall, ye tak? Lagi satu, kalau tak silap aku, banyak jugak kedai mekap sekarang yang boleh testing mekap dan ada jugak siap dimekapkan lagi. Jadi tak patut sebenarnya kalau perempuan bersiap lambat bila nak pergi shopping complex sedangkan mekap dan pewangi bagai dah tersedia. 
Minggu ni aku baru je tinggalkan beg milik wanita kegemaran aku kat tandas, aku dah lah jenis pelupa kemudian disuruh pulak pegang, memang takdirlah penentu segalanya, dalam beg tu biasalah ada telefon bimbit jenama buah-buahan dan beberapa keping not mahal. Ini adalah satu kesilapan yang memakan diri, tak tahu nak layan sedih macam mana. Kesilapan ni sama tahap dengan perbuatan aku masa belajar dulu yakni beli jersi Manchester United ada tulis nama Rooney kat belakang, jersi dah lah tak lawa, saiz tak kena dengan aku(mungkin ikut saiz badan Rooney yang sebenar), team pulak tak power. 
Sibuk betul bulan september 2013 ni, nak gunting rambut pun tak sempat, nak picit jerawat pun kena cepat-cepat.  Ni kalau aku ada bela kucing mesti beliau dah kemas beg lari dari rumah.

Ada satu perkara yang beberapa kali terdetik bila di jalan raya. Bila berlaku kecelakaan jalan raya, tanpa mengira apa jenis kenderaan, disedari atau tidak, perkara yang paling membimbangkan orang ramai adalah kesesakan lalulintas, bukan kemalangan jalan raya tersebut. Secara kasarnya, 'ada aku kesah'.

Seakan malang yang berlaku bukanlah kecederaan atau nyawa yang terlibat, tapi kesesakan yang berlaku. Dan kita akan mengeluh lewat pergi kerja atau lewat pergi beli-belah, sedangkan kemalangan yang sebenarnya berlaku kita anggapkan beban yang tak penting. Tak peduli.

Kalau tak percaya, bila anda berhadapan dengan kemalangan yang melibatkan kerosakan, kecederaan, kematian dan kemudiannya menyebabkan kesesakan lalu lintas, cuba anda diam sebentar, dan dengarkan suara dari orang di sebelah , atau di belakang, atau suara anda sendiri dari dalam hati, yang mana satu lebih dikisahkan, kemalangan atau kesesakan?

Jawapanya mudah saja, jawapan kita mungkin berbeza, antara dua tu saja., mungkin berubah-ubah, dan dipisahkan satu garis halus. Cuma membawa satu signifikan yang besar pada aku. Sebab tu aku belum pernah bebaskan persoalan aku ni kepada sesiapa, secara terus, sebab aku masih mahu memahami , memerhati atau mungkin lebih kepada mencari alasan yang paling sedap hati.

p/s: Tinggal di kota ni, prihatin dan jaga tepi kain sering di salah erti. Pentingkan diri dan memilih prioriti juga boleh didifinisikan dengan segenap persepsi. Kewajaran pun jadi berkecamuk.

Tadi nak hubungi orang, aku amik henfon then dial nombor, tapi masalahnya aku boleh pulak tertekan nombor kat kalkulator, tak lama kemudian nak tengok kalendar kat henfon, pun aku pergi bukak kalkulator. 

Ketagihan kalkulator gamaknya.
Sebenarnya kalau anda nak tahu, kereta aku punyalah kuat telan minyak, dia punya kos nak kena isi dalam sebulan tu sampai rasanya dah boleh bayar duit ansuran kereta lagi sebijik. Dia bukan guna minyak, dia telan dengan lajunya, takde kunyah-kunyah.

Pastu hari ni katanya minyak naik harga, memang aku kena naikkan lah usaha tulang empat kerat untuk mencari rezeki. Takpe takpe, orang amik rezeki kita, kita mintak kat tuhan bagikan rezeki lain yang lagi mulia. Bunyi macam redha dan baik je kan? Tapi sebenarnya aku nak carut macam tajuk di atas.
Sejak kali pertama memakai spek mata di tingkatan 2, hinggalah sekarang, aku kira tak cukup sebelah tangan untuk menyatakan jumlah spek mata yang dah di  tukar-ganti. Mungkin kena buat 'peace' dengan sebelah lagi tangan untuk cukupkan. Kalau dibahagi dengan durasi masa, secara kasarnya aku akan berganti spek mata selang 2 tahun.  Aku tak pasti situasi ni adalah normal sebagaimana orang lain, tapi secara matematik lebih kurang begitulah.

Sebab utama yang menjurus kepada penukaran spek mata ni biasanya kerana dah tak sedap pakai. Pada pengalaman aku spek mata ni macam pakaian jugak, kalau dah pakai hari-hari dia akan menjadi kurang selesa dan gatal kepala. Selain itu, disebabkan tahap rabun sudah berubah tanpa izin atau sebab jemu. Berdasarkan alasan-alasan di atas, aku rasa tempoh masa 2 tahun adalah munasabah dan boleh diterima. 

Namun, yang menjadi pertimbangannya sekarang adalah harga. Sebagai pemakai spek mata sepenuh masa seperti aku, harga sekitar RM500 adalah berbaloi dengan pasaran sekarang. Kalau nak lebih terkini mungkin boleh dapatkan dengan harga RM700. Namun bila difikirkan balik, harganya sama seperti harga gelang atau cincin di POH KONG. Dalam tak sedar aku berilusi akan untungnya jika membeli spek mata sama seperti membeli emas yang mana lebih menyimpan nilai.

Sebab tu lah aku agak cerewet nak beli spek mata, sama tahap cerewet macam nak beli baju melayu. Minggu lepas aku siap dah isi borang bagai, tinggal nak hulur duit je, kemudian aku keluar ayat klise seorang pelanggan yang berubah fikiran di saat akhir proses pembelian 'saya takde cash sekarang, nanti dalam dua tiga hari kalau jadi saya datang lagi'. Semoga brader kedai MOG faham dan redha.




Tadi 
aku 
nak 
cari 
pam angin,

kecemasan,
dan,
kelam-kabut.

tapi 
aku 
tak 
faham 
kenapa 
aku 
bukak 
pintu 
peti 
ais. 

Kebanyakkan kesusahan atau kepayahan dalam hidup ni memang akan mematahkan hati dan jati, bukan disebabkan oleh kesusahan tu sendiri, tapi disebabkan oleh  pada masa tu kita baru dapat kenal siapa yang cekal bersama dan siapa bersifat sementara seperti dakwat kekal pilihanraya.

Kadangkala, 
tercetus di kepala, 
bahawa ada juga rasa suka,
bila ditimpa sengsara.

Memang gila, tapi janganlah ketawa , sebab pada masa sengsara jiwa biasanya lebih redha , tertutup pintu untuk kepura-puraan dan terbukalah satu rasa yang kita adalah kita. Jujur. Makna kata, kita adalah kita, pandangan dan kasih orang terhadap kita mungkin berubah, tapi kita dalah kita. Kita akan lebih mengenal diri dan mengenal saudara. Tuhan juga, barangkali?

Jadi, rasa susah kadangkala adalah satu kepuasan, seperti meredah hutan belukar atau memanjat bukit bukau demi melihat pemandangan dari tempat tinggi yang memukau. Sedangkan rasa mudah dan selesa, selalunya membuatkan jiwa mati sebelum tarikh luput yang ditetap illahi. 

Adakah gila? Jika aku meminta pada tuhan moga diberikan susah berkala, supaya aku beringat sekali-sekala, supaya sentiasa ada redha, agar  terus bertambah usaha dan doa. Adakah benar khabar yang berkata yang miskin lebih ramai menghuni syurga dari yang kaya raya, adakah rahsianya terdapat dalam susah payah dunia?


Biasanya bila lelaki kata kat perempuan tu dia comel atau cantik, dia akan menidakkannya, atau buat-buat keliru, atau mengaju soalan susulan seperti eh betul ke?/ really? / kenapa pulak? dan sebagainya.

Sebenarnya soalan-soalan tersebut adalah satu kaedah saja. Kerana perempuan tu pastinya tak cukup dengan pujian yang pertama, dia mahu anda memuji untuk kali kedua, dan mungkin ketiga dengan kaedah menjawab soalan-soalan dia.

Pintar bukan?
Hairan jugak aku dengan semut-semut di rumah aku ni. Aku tinggalkan cawan dengan air manis 2-3 hari takde pun mereka nak hurung. Ini telah menimbulkan beberapa teori behavioris di dalam benak aku.


1. Semut sudah tidak suka pada benda-benda manis, atau mereka on diet.  



2. Semut-semut zaman sekarang sudah lupa daratan dan lupa diri. 



3. Semut sudah tahu soal halal haram.




Atau korang ada teori lain?




[Soal halal haram tu maksudnya mereka tahu yang amik air orang tanpa kebenaran adalah haram, bukan bermaksud dia tak hurung air tersebut kerana air tersebut adalah air kategori minuman keras.Sekian.] 


Dulu masa bulan puasa ada satu gelagat yang buat aku terhibur. Masa tu adik bongsu aku baru darjah 5,  waktu berbuka pun sudah hampir menjengah, lauk-pauk dan beragam makanan lain sudah terhidang menanti dijamah secara berjemaah oleh kami sekeluarga. Walaupun terasa seperti sudah lama menunggu, azan masih jugak belum berkumandang, maknanya..kami kena tunggu lagi lah ye tak, tapi tak semena-mena adik bongsu aku yang ketika itu darjah 5 terus membaca doa makan. Ayah aku lantas berkata dalam kehairanan 'belum azan lagi lah'.

Aku pun yakin yang azan belum berkemundang di tivi atau live dari surau. Adik bongsu aku yang ketika itu darjah 5 menjawab dengan selamba "takpelah, sekejap lagi azan boleh terus makan". 

Perkara itu berlaku 3 tahun yang lepas, namun di tahun 2013 ini masih lagi menghantui aku. Pagi tu aku hantar isteri aku ke tempat kerja beliau, traffik pada pagi tu berjalan lancar dan cuaca juga sedap mata memandang, isteri aku pun lawa juga gerangannya. Sedang enak aku memandu, kereta di hadapan dan kiri kanan aku perhati dengan penuh tekun, tiba-tiba isteri aku yang duduk di sebelah menghulur tangan nak bersalam.

Aku yakin seyakinnya yang kami masih belum sampai lagi di hadapan pejabat beliau. Isteri aku dengan selamba menjawab tanpa disoal "takpelah, dah sampai nanti tak payah salam lagi". Apa punya kaedah ni sebenarnya? Dah macam debit kad pun ada dah gayanya, nasib baik dia tak salam 10 kali untuk bulan Januari ni punya salam, kalau gitu memang tak terhibur sangat perasaannya.
2013.

Tahun lepas banyak perkara yang dah jadi, ada yang remeh, ada beberapa yang signifikan, dan beberapa lagi sangat penting. Ada sesetengahnya berlaku seperti dirancang, ada yang luar jangkaan, ada yang mengikut tertib dan ada pula yang bagai susun silangkata kekdahnya.

Walau rupa masih awal remaja (penipuan) , namun usia tetap meningkat dengan ukurun matematiknya. Cabaran juga semakin meningkat memanjat bahu, moga ia tak menjatuhkan aku, malahan berharap menguatkan lagi tenaga dan jadi lebih berilmu.

Seperti kata Salahudin Al-Ayubi "Saya meminta kekuatan, tetapi Allah memberikan saya kesulitan yang membuatkan saya kuat".

Aku bukan nak berubah jauh mana, cuma mahu bermetamorfosis menjadi lebih baik, macam kupu-kupu, mula-mula dia jadi ulat kecil pastu dia jadi sangat cantik dan boleh terbang hisap madu bunga. 

Kecerdikan memilih mana yang penting dan mana yang lebih penting pun tak boleh dipandang enteng.
Beberapa hari lepas misalnya, aku amik masa 2 hari juga mencari charger laptop aku, biasalah orang baru pindah ni barangannya di sana sini.

Cari punya cari..akhirnya ketemu juga charger tu. Charger tu amatlah penting pada masa tu sebab aku nak berinternet dan excited nak tengok gambar kahwin. Bila dah jumpa memanglah rasa lega, tapi aku lupa, rupa-rupanya laptop aku tak ada di sana, ia ada di suatu tempat yang lain pula. Jadi, charger tanpa laptop apalah ertinya?

Hehe, pengalaman 1000 tahun pun belum tentu dapat mengajar, kerana bukan panjang atau pendek masa yang memberi makna, tapi bagaimana kita melihat signifikasi sesuatu moment, tepuk dada tanya minda. 

Terima Kasih 2012..tinggalkan dengan senyum mesra : )




Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home