Ramai juga orang yang bertanya tentang persediaan aku sebelum akad, mungkin sebab aku nampak relaks masih bekerja walaupun esok adalah akad..padahal aku sebenarnya dalam keadaan risau juga, cuma aku sibukkan diri aku dengan hal -hal lain.
Lafaz akad nikah tu aku tak gusar sangat, tapi aku gusarkan pada soalan cepu-emas dari kadi nanti, kerana sesetengah kadi akan menguji soalan yang boleh buat basah dahi dan ketiak, sebagaimana yang dimomokkan oleh masyarakat kita lah.
Takut juga aku kalau ditanya soalan yang bukan kearifan aku, contohnya doa selamatkan diri dari binatang buas atau disuruh betulkan peti televisyen. Dalam pada tu aku sediakan juga helah-helah jawapan kalau ada soalan yang aku tak berapa tahu nak menjawab.
Juga tak dilupa aku cuba mempraktikkan senyuman yang paling tenang, supaya bila berhadapan dengan kadi nanti aku nampak bersedia dan tenteram, dengan harapan kadi ada keyakinan pada aku tanpa perlu buat ujian yang berat-berat.
Hari demi hari, pada saat yang dimimpi, di bilik nikah tersebut, aku lemparkan senyuman yang bergetaran, ketenangan yang belum ranum, lalu kadi punya bertanyalah satu soalan."Kamu asal dari mana? Andai ikut apa yang diceramahkan kepada aku masa kurus kahwin dulu, mahu saja aku menjawab asal kita dari tanah. Atau boleh saja aku petik satu surah yang aku google kan maksudnya.
"Bukankah dia dahulu setitis air mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya. Lalu Allah menjadikan daripadanya sepasang: laki laki dan perempuan. Bukankah (Allah yang berbuat) demikian berkuasa (pula) menghidupkan orang mati?“ (surah al-Qiyamah: ayat 36-40)
Setelah mencatur-catur, aku menjawab "Saya asal dari Port Klang". Kemudian akad nikah berjalan dengan lancar. Alhamdulilah, berkat doa, ia dipermudah. Tanda satu perjalanan kehidupan berkeluarga yang baru hendak bertatih. Ceewah!
Yang Benar,
Fndrocka & Isteri yang sedang memotong carrot.