Nota Buku - Guru Aini / Andrea Hirata
“Dalam perjalanan yang panjang menuju keikhlasan, kita akan menemukan harapan. dalam perjalanan yang berliku-liku menuju pengorbanan, kita akan menemukan keberanian. namun kejujuran pada diri sendiri akhirnya kita akan pulang “
Sebagai peminat Andrea Hirata yang totok, membaca buku ini sudah seperti menelefon seorang kawan dan bertanya khabar kepadanya. Ianya sudah jelas dan menjadi sesuatu yang natural untuk aku membeli dan membaca buku tulisan Andrea Hirata yang satu ini dan seterusnya. Bagi peminat Andrea Hirata lain, buku ini merupakan pre-kuel kepada novel Orang-Orang Biasa, harap maklum.
Buku ini fokus kepada dua watak utama iaitu Aini selaku judul buku dan gurunya Desi. Tema cerita adalah rasukan ilmu matematik. Aini adalah seorang yang bebal matematik manakala Guru Desi adalah guru matematik penuh idealisme yang kemudian sedar bahawa ternyata mengajar matematika tidaklah segampang yang disangka. Desi menganggap matematika itu seperti seni, maka perlu bakat, tapi bila bertemu Aini yang bebal nombor itu.. mengajari matematik macam mengajari ayam mengiau / mengeong.
Buku yang tak kering dengan humor bersahaja ala Andrea dan tentunya jalan cerita yang mengesankan. Ditambah pula dengan gaya bahasa penulis yang sangat bersahabat dengan analogi dan sarcasm yang menghibur dan menginspirasikan.
Kisah seorang guru yang sangat ingin muridnya mengerti bertemu dengan seorang murid yang ingin sangat mengerti, meski ranjau dan onak berduri menjadi pemisah. Di antara keduanya itu berlakulah letupan idea dan semangat.
Guru Desi sangat berkobar-kobar dengan dunia Calculus dan Algebra, guru yang cukup berkorban dan mencintai kecerdasan matematika bukan jenis sekadar carma (cari makan). Aini pula jenis insan yang tersesat dalam hitung-hitungan rumit yang dia tak tahu ujung pangkalnya, dari manakah angka-angka matematika ini bermula dan ke manakah mereka pergi?
Ketika Aini seakan menerima seadanya matematik bukan kepandaianya, bapanya jatuh sakit dan dia mendengar doktor berkata penawar untuk sakit bapanya masih belum ditemui namun ianya boleh dirungkai dengan rumus kebijakkan sains dan matematik. Sejak itu, Aini bermula dari angka kosong mengejar impiannya mahu menjadi doktor bagi mengubati /mencari penawar sakit bapanya.
Mampukah Aini ?
Menghibur dan menginspirasikan.
"Merasa terhormatlah mendapat soal yang sulit, karena soal yang sulit akan mengeluarkan yang terbaik dari kita. Lalu tempur! Tempur semua kesulitan itu! Jangan mundur! Jangan sedetik pun mundur!" (hlm. 271)
0 comments:
Post a Comment