Musuh Tidak Kelihatan 2

Musuh Tidak Kelihatan 2


Statistik jangkitan Covid19 semakin laju meningkat, Abu sudah tidak sempat untuk mengejar angka demi angka.Abu sendiri adalah manusia jenis benak angka, yakni nombor-nombor tidak bergaul elok dalam kepala otak Abu. Jika dipaparkan nombor-nombor yang berderet seperti statistik kes Covid19, kepala Abu akan berpusing bingit seperti mesin basuh yang menanti tarikh mati.

Sudah dua hari Abu menantikan kemunculan suara misteri yang diceritakan pada episod lalu, namun penantian Abu masih belum ada kepastian. Bukan sahaja suara tidak muncul, bunyi perabot yang diseret-seret jugak sudah hilang. Abu menantikan di ruang tamu juga tiada sebarang petanda, dah masuk 2 hari Abu tidak bertukar kain pelikat, tilam yang dibentangkan di ruang tamu pun dah penyek-penyek menampung berat Abu, sambil dia berbaring menonton televisyen, dari pagi ke petang, bawak ke malam, di situlah Abu menanti tak tahu nak buat apa lagi, nak keluar bukan boleh, sekejap-sekejap mengiring, sekejap-sekejap terkangkang, dah serupa orang baru lepas bersunat pulak kekdahnya, cuma tak sapu krim je..ngilu pula bila memikirkannya.

Memandangkan Abu sudah hilang sabar, Abu memutuskan untuk tidak lagi menunggu, tapi mengambil langkah untuk memanggil-manggil pulak. Drastic times call for drastic measures, Abu perlu segera memikirkan cara untuk berbicara dengan suara mistikal tersebut. 

“Encik suara..kita perlu berbincang..wahai suara..” panggilan Abu seperti tidak diendah. Rasa tak manis pulak nak panggil suara tu sebagai suara, macam kau panggil orang gemuk sebagai gemuk atau orang botak sebagai botak. Mungkin kalau panggil puaka lebih kena.

Kecewa panggilan tak disahut. Abu mulakan langkah seterusnya. Abu menolak meja makan ke ruang tamu, kabinet tv dialihkan ke sudut dapur, sofa dianjak-anjak ke sana ke sini ke sana ke sini ke sana ke sini, diseret-seret rak kasut dan almari sehingga menghasilkan bunyi bising yang aneh-aneh. Dihentak-hentak dinding dah macam kompang. Abu mengulangi ritual tersebut sehinggalah suara itu menjelma.

“Assalamualaikum tuan hamba” 

“Waalaikumsalamm” sahut Abu. Kali ini Abu pula menyambut salam. 

“Engkau telah menganggu ketenteram alam aku wahai orang muda berkain pelikat”

“Mintak maaf. Alam aku tidak boleh menunggu lama lagi, aku perlukan rahsia untuk merawat Corona Virus”. Abu terus terang.

“Selepas berkomunikasi dengan kau tempoh hari, aku menjadi lemah, aku perlukan kuasa tambahan”.

Abu teringat tempoh hari pun puaka ni ada cakap pasal kuasa, dah macam Boboiboy lak.
“ Apa yang kau perlukan ?”

“Aku perlukan KETAKUTAN dan KEPERCAYAAN kau”

Wow. Abu berfikir sejenak. Dalam hidupnya yang fana, dia belajar ketakutan hanya satu konsep fikiran yang menekan emosi dan mencetekkan kecerdikan, ketakutan tu adalah bayang-bayangan yang tampak besar tapi berasal dari sosok kerdil..umpama time letrik rumah takde tu kan , depan lilin kita buat bayang-bayang anjing la harimau lah guna jari, gajah pun ada, bukan main besar bayangan tu kita buat sampai penuh dinding tapi sebenarnya guna jari pun boleh. Benda pun boleh adjust kecik-besar.

Masa kecik-kecik dahulu selalu la Abu dimomokkan dengan hantu, asal gelap je ada hantu, asal senja je ada hantu, disuruh tidur awal sebab nanti hantu keluar gigit dan bermacam-macam lagilah, tapi sampai sekarang Abu tak faham kenapa dia kena takut dengan hantu tetek, tapi seingat Abu memang dia ada berasa takut dulu..mungkin sebab semua orang takut maka dia pun menurut tuntutan psikologi dan kehendak masyarakat, kalau langsuir tu angkerlah jugak ada gigi tajam muka huduh dan rambut tak bergunting kan, hantu tetek apa je yang ada kan, namun demikian...sampai lah dah dewasa Abu belum pernah pun direzekikan untuk terserempak dengan sebarang kluster hantu, lama-kelamaan perasaan takut itu pudar dan Abu takut pada benda lain pulak, iaitu Matematik. 

Dia punya level takut sampai taknak pergi sekolah kalau boleh.Dia punya ketakutan bertambah-tambah, bila masuk tingkatan 4 dia kena belajar Matematik Tambahan dan Perakaunan. Dalam kelas tu memang rasa seram-seram sejuk. Tengok buku rasa macam nak naik angin. Lepastu rasa nak terkencing pun ada, tak tahu apa kaitan dengan cerita ni tapi pundi kencing dia pun tiba-tiba nak interframe dalam cerita ni.

“Aku boleh berikan kau KETAKUTAN aku dan KEPERCAYAAN” ujar Abu.

“Aku akan muncul sebagai objek yang engkau takutkan, namun kau perlu percaya pada aku”

Takut dan percaya? Abu mula keliru dengan permainan puaka ini, adakah ini boleh menyebabkan dia tersasar beriman kepada sesuatu yang selainNya. Abu jadi gusar, kalau tiba-tiba spesis ini muncul dengan wajah-wajah mengerikan, seperti filem mat saleh tu,ganas macam jerangkung ke jenglot ke memang tak selera nak makan nasik nanti.

“Nyatakan apa yang kau takutkan?”

“Wanita cantik!” jawab Abu, cuba untuk kedengaran takut tapi tak jadi. Tapi bagi Abu memang wanita juga seperti matematik, sukar difahami dan memberi beribu persoalan, namun matematik sangat penting dalam hidup kita, terutamanya matematik cantik..eh silap..perempuan cantik..haaa punyalah sama sampai keliru.

“Perempuan cantik?”

“Yup, kenapa perempuan cantik yang kau takut. Kau cukup aneh”

“Perempuan cantik ni kan kalau dia buat perangai ntah apa-apa pun orang cakap takpe, kalau dia buat salah pun orang mudah nak maafkan, kalau bodoh pun orang kata takpe muka dia cantik..aku TAKUT perempuan cantik sebab benda macam ni la, takut tanpa sedar aku boleh jadi bodoh sebab PERCAYA”

“Kalau kau takut perempuan cantik, maka akan aku menjelma berjasadkan perempuan cantik.”

“Baiklah”..Abu cuba untuk kelihatan takut sekali lagi, tapi masih tak jadi.

“Tapi kau tak kelihatan takut”

“Aku tak nampak kau tak bermakna kau tak wujud, takut juga bentuknya subjektif” jawab Abu tidak menyakinkan. Abu risau jugak kalau dirinya diapa-apakan oleh puaka tersebut, ni apa-apa jadi insurans tak cover ye tak.

Beberapa ketika suara tersebut senyap langsung. Abu pun turut senyap dan sabar. Jantung Abu berdengup kencang antara gugup dan excited. Abu mula membayangkan perempuan cantik yang bakal muncul di hadapannya, kurang-kurang Abu nak yang campuran antara Janna Nick campur Emma Maembong campur Anjoulie bagi nampak macam Arab sikit. Cukuplah campur 3 tu, kang kalau campur banyak-banyak sangat bergaduh pulak, kau tahu je la perempuan.

Sudah 30 minit, suara masih senyap, perempuan cantik masih tidak muncul waima bayangannya pun, bau pun takde ni, Abu mula tak sedap hati, adakah puaka nak game Abu? Pelbagai kebarangkalian berkejar-kejaran di fikiran Abu, Abu sedikit ralat meminta perempuan cantik, patutnya dia mintak perempuan sangat sangat cantik tadi.

Selepas sejam, masih tiada apa-apa. Abu mula hilang sabar dan dah start nak komplen, Abu bangkit dan separa menjerit mempersolkan integriti puaka kayangan.

“Wahai suara puaka, sudah lupakah kau pada perjanjian kita?” tanya Abu.

“Sabar wahai anak muda. Biasalah...perempuan cantik kan siap lambat..” jawab suara puaka.

Abu cakap okey dan terus ke dapur masak maggie kari.

Bersambung...
Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments: